CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menganggap cadangan membenarkan latihan fasa 2 adalah satu langkah tepat untuk mengembalikan kembali ekonomi dan keharmonian sukan negara yang dilihat berdepan krisis selepas negara dilanda pandemik COVID-19 sejak awal Mac lalu.
Beliau juga optimis cadangan yang akan dibawa oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican adalah relevan selaras penurunan statistik pesakit COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“MFL percaya ia adalah satu langkah yang tepat dan mengikuti kesesuaian serta perkembangan semasa dalam negara.
“Malah, ia akan memperlihatkan juga harapan dan kemungkinan untuk MFL dan kejohanan-kejohanan sukan yang lain dapat dimulakan dalam masa yang terdekat.
“Biarpun ia masih di peringkat cadangan tetapi usaha KBS harus diberikan pujian dalam usaha membangkitkan kembali semangat sukan yang semakin pudar dalam negara ini disebabkan pandemik virus COVID-19.”
Selain daripada membawa cadangan kebenaran latihan kontak penuh, KBS akan mengadakan satu sesi libat urus bersama pengusaha-pengusaha padang dan gelanggang komersil serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal dalam masa yang terdekat.
Ghani juga menghargai usaha KBS untuk membenarkan latihan pasukan-pasukan dibuat di padang terbuka.
“Dengan SOP latihan fasa 1 iaitu tiada kontak dikekalkan, ia telah memudahkan pasukan-pasukan untuk mendapatkan padang latihan berbanding sebelum ini SOP hanya dibenarkan di stadium atau padang secara tertutup.”