Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengumumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan SOP kem latihan pusat secara kuarantin untuk skuad kebangsaan kepada MKN dalam masa terdekat.
Ini selepas kerajaan membenarkan sukan berpasukan untuk mengadakan sesi latihan tanpa melibatkan sentuhan fizikal bermula 15 Jun ini.
Namun skuad kebangsaan perlu menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadual pada Oktober dan November 2020.
Skuad B-19 negara kendalian Brad Maloney pula akan menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.
Justeru, mereka perlu mengadakan sesi latihan secara menyeluruh iaitu latihan bolasepak secara bersentuhan.
“Dengan kebenaran diberikan oleh kerajaan, FAM sudah pun mempunyai SOP bagi latihan pasukan-pasukan kebangsaan dan akan mengadakan perbincangan dalaman untuk penentuan langkah seterusnya bagi menggerakkan perancangan memanggil pemain-pemain ke kem latihan pusat.
Ia akan disusuli dengan SOP bagi kem latihan pusat dengan pendekatan secara kuarantin (quarantine based approach centralized camp) yang akan dihantar kepada KBS dalam masa terdekat berpandukan SOP Sektor Sukan & Rekreaksi Fasa 2 yang dikeluarkan KBS,” kata Stuart dalam kenyataan.
Pada masa sama, kesemua pasukan Liga Super dan Liga Premier akan mengikuti SOP yang disediakan oleh MFL.
“MFL akan mengeluarkan SOP kembali ke latihan dan juga akan menghubungi pasukan-pasukan berkenaan dalam masa terdekat ini bagi memberi penerangan terhadap SOP yang telah disediakan bagi memastikan perlaksanan sejajar dapat dipastikan.”
Tambah Stuart, akademi-akademi bolasepak akan mengikuti SOP yang disediakan FAM.
“SOP kembali ke latihan sudah disediakan oleh FAM dan akan dikongsikan kepada pihak yang berkenaan dalam tempoh terdekat ini selepas kandungannya diselaraskan dengan garis panduan baharu MKN bagi memastikan kelancaran operasinya apabila kebenaran diberikan kerajaan bermula 15 Jun 2020.”
Malah, FAM turut menyediakan SOP untuk peminat bolasepak yang mahu mengadakan aktiviti bola sepak secara sosial dan riadah.
“FAM akan mengeluarkan satu garis panduan cadangan untuk diikuti oleh semua yang terlibat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan kita semua agar tidak terdedah kepada kemungkinan terjadinya penularan semula pandemik COVID-19 ini.”
Stuart berharap, kebenaran aktiviti bolasepak akan dapat menaikkan semula semangat pelbagai pihak demi kelangsungan bolasepak negara.
“FAM berharap agar kita semua yang terlibat dalam bola sepak ini dapat sama-sama mengekalkan disiplin diri masing-masing untuk mengikut segala SOP serta ketetapan yang telah dibuat agar kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan bola sepak di negara ini.”