Malaysia Berita

FAM cari jalan untuk Wan Kuzri Wan Kamal

Walaupun Wan Kuzri Wan Kamal berminat untuk menyertai skuad Bawah-19 negara, FAM perlu mencari jalan supaya pemain muda itu boleh mendapat kebenaran untuk membuat perjalanan jarak jauh dari Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, ketika hampir seluruh dunia mengehadkan perjalanan individu selepas dilanda wabak COVID-19.

Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengakui sedang berusaha untuk membawa pulang Wan Kuzri sebelum skuad bimbingan Brad Maloney menghadapi Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

“Memang dia berkeinginan menyumbang kepada negara,” kata Stuart kepada Sinar.

“Walaupun mungkin ada kem latihan buat skuad negara dalam masa terdekat, jika situasi membenarkan, persoalannya sama ada dia boleh turut serta.

“Persoalan adakah dia boleh meninggalkan Amerika dan jika tiba di Malaysia, adakah dia akan dikuarantin? Adakah saat itu Malaysia benarkan kemasukan warga asing? Banyak persoalan dengan status penyertaannya bersama skuad negara, namun itu yang sedang kami usahakan.”

Wan Kuzri menetap di AS sejak lahir namun layak mewakili negara menerusi bapanya, Wan Kamal Wan Napi yang lahir di Kelantan dan merupakan bekas pemain kebangsaan.

Selepas bersara, Wan Kamal berhijrah ke AS dan kini merupakan pensyarah kanan di Universiti Southern Illinois.

Beliau mempunyai tiga orang anak lelaki, Wan Kuzac, Wan Kuzain dan Wan Kuzri, yang mana kesemuanya terlibat dalam dunia bolasepak.

Wan Kuzri kini mewakili akademi St. Louis FC, kelab divisyen kedua bernama USL Championship.