Liga Premier Malaysia Berita

KAFA minta bantuan kerajaan negeri dan kerajaan pusat

KAFA mengemukakan permohonan secara rasmi kepada kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan pusat sebagai usaha untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain ketika ini.

Datuk Seri Afandi Hamzah selaku timbalan presiden KAFA menyerahkan surat permohonan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid juga memaklumkan Exco KAFA, Ausri Husin sudah menyerahkan surat permohonan bantuan kewangan kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

“Kita faham kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab lain,” katanya kepada BH Sukan.

“Cuma harapan besar kita supaya kerajaan negeri boleh pertimbangkan untuk meringankan beban yang ditanggung KAFA dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji.

“Saya mengharapkan kerajaan negeri dapat pertimbang permohonan ini bagi menyalurkan bantuan semampu yang boleh kepada KAFA dalam usaha kita menyelamatkan bola sepak Kelantan.”

Permohonan bantuan itu dibuat selepas KAFA bakal berhadapan dengan pelbagai lagi kes tunggakan gaji pemain daripada musim-musim sebelum ini.

Setakat ini, KAFA diarah bayar Cassio hampir RM1 juta manakala Bruno Lopes perlu dibayar lebih RM140,000.

KAFA yang kini mengumpulkan kutipan derma sebanyak RM15,000 mahu menggunakan dana tersebut untuk menyelesaikan semua hutang pasukan.

“Tabung ini akan digunakan kepada semua kes tunggakan gaji, bukan membabitkan kes Cassio sahaja.

“Ia kerana ada kes yang baharu dan kita jangka ada lagi kes lain yang akan datang. Jadi kita bersiap sedia dan tabung ini akan diteruskan dan tidak akan dimatikan.

“Ya, KAFA akui ia memberi cabaran kepada kami kerana selain kes Cassio dan Lopes, akan ada lagi kes lain yang akan menyusul.

“Namun KAFA akan berusaha sebaik mungkin dengan bantuan sumbangan derma secara berterusan daripada rakyat dan penyokong setia bola sepak Kelantan menyelesaikan isu ini.”