Liga Super Malaysia Berita

Penaja Al-Ikhsan harap Liga Malaysia disambung akhir bulan Jun

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sdn Bhd, Vach Piluttla berharap kerajaan memberikan kebenaran untuk Liga Malaysia musim ini disambung semula akhir bulan Jun, lebih awal daripada perancangan asal iaitu bulan September.

Beliau berkata, pasukan Liga Malaysia sepatutnya sudah boleh beraksi memandangkan statistik pesakit COVID-19 di Malaysia jauh lebih baik daripada negara-negara seperti Jerman dan Korea Selatan yang sudah pun membenarkan liga mereka bersaing semula.

“Kami fikir tidak akan berlaku sebarang isu jika semua dapat mengikuti SOP seperti yang disarankan MKN dan KKM. Jika kita dapat lihat, Bundesliga sudah memulakan kempen tanpa penyokong, kemudiannya Premier League dan La Liga yang dijangka menyambung kembali aksi domestik bulan depan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Jika dibandingkan statistik COVID-19 dengan negara-negara ini, Malaysia jauh lebih bagus dan kami berpendapat liga tidak berdepan masalah untuk kembali dilangsungkan pada akhir bulan depan.

“Apa yang pasti semua pihak terlibat iaitu FAM, MFL, persatuan-persatuan negeri dan kelab serta penaja harus bersatu hati untuk mencapai satu keputusan, kemudian barulah menghantar permohonan kepada KKM yang akan membuat keputusan.

“Sebagai salah satu penaja lama dalam Liga Malaysia, Al-Ikhsan menyeru kepada kerajaan Malaysia agar dapat memberikan kebenaran untuk melangsungkan kembali liga tanpa penonton pada akhir bulan depan.”

Al-Ikhsan menaja sebanyak RM11 juta untuk saingan Liga Malaysia pada musim ini selain melabur RM4 juta kepada Pahang, PDRM, Terengganu dan Melaka United, namun terkesan dengan penangguhan liga.

“Benar, COVID-19 telah menjadi satu impak kepada semua pihak dan disebabkan virus ini juga kami tidak memiliki perniagaan selama 48 hari berturut-turut,” kata Vach.

“Jika liga kembali bersambung pada Jun dan bukannya pada September, ini sedikit sebanyak dapat membantu. Ini kerana ia getir buat kesemua pasukan yang telah hilang mata pencarian selepas liga ditutup dalam tempoh agak panjang.

“Ayuh kita bina kembali atmosfera bola sepak tempatan. Penyokong-penyokong sendiri mahu liga kembali berjalan tanpa penyokong dan buat masa ini, ia adalah langkah terbaik kepada semua pihak.”