Liga Super Malaysia Berita

Azmeer Yusof: Jangan jadi macam saya

Azmeer Yusof mengakui dia melakukan kesilapan dalam menguruskan kewangan sepanjang kariernya sebagai pemain bolasepak.

Pemain Kedah berusia 30 tahun itu mendedahkan di akaun Facebook miliknya bahawa dia membuat perbelanjaan secara boros namun kini menderita akibat bebanan hutang yang banyak.

“Permulaan hidup saya cukup mewah. Dengan gaji tinggi, saya tak fikir langsung untuk simpan dan beli rumah atau melabur dalam apa-apa yang menguntungkan.

“Zaman muda pegang banyak duit, saya tak fikir apa-apa. Sekarang 2020, umur pun dah cecah 30 masih tak habis bayar hutang. Saya rasa orang paling bodoh dalam dunia, dengan gaji saya sepanjang 2009-2019, saya sepatutnya tidak ada masalah nak bayar hutang, tapi malangnya tak mampu. Saya beli tujuh buah kereta, ambil lima keping kredit kad.”

Azmeer berkata, dia baru sedar bahawa dia sepatutnya membeli rumah dan membuat simpanan untuk masa akan datang.

“Saya cuba nak beli rumah tapi pinjaman tak lepas. Sebab apa? Sebab pinjaman peribadi, kad kredit, kereta dan lain-lain. Bodohkan?

“Sebab itu saya berjanji saya akan jual semua kereta saya kecuali Vellfire sebab kereta itu saya niatkan untuk kegunaan mak dan ayah saya. Yang keduanya, saya habis bayar semua kad kredit. Ketiga bayar habis pinjaman peribadi.

“Sebelum ini komitmen saya cecah RM10,000 sebulan. Sekarang komitmen saya semakin sikit dan tak pening kepala kalau gaji tak masuk atau apa-apa yang terjadi dalam kerjaya saya,” katanya.

Azmeer turut bersyukur kerana hasratnya untuk memiliki rumah tercapai juga.

“Apa yang berlaku semua ini juga Allah telah menghadiahkan kepada saya rumah sendiri di Alor Setar. Semoga dengan sebuah rumah ini saya dapat kembangkan lagi dengan membeli seberapa banyak rumah dengan izin Allah.

“Bagi pemain bolasepak yang tengah merasa gaji besar sekarang ini, fikirkanlah masa depan anda, jangan terlalu seronok dan boros sampai guna semua gaji dan berbelanja benda-benda bukan termasuk kereta.”