Malaysia Berita

Piala Borneo ditunda ke tahun depan

Piala Borneo yang sepatutnya diadakan pada bulan Mac lalu akan ditunda ke tahun depan.

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony berkata, kejohanan tersebut tidak dapat diadakan tahun ini kerana masih bimbang dengan penularan wabak COVID-19.

“Dalam jadual sepatutnya ia diadakan pada Mac tetapi kita tidak dapat melaksanakan kejohanan kali pertama itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta masalah COVID-19,” katanya kepada Astro Arena.

“Bagaimanapun, kita akan lihat keadaan dari semasa ke semasa dan sekiranya tiada halangan ia akan diadakan pada tahun depan, kami akan umumkan nanti sama ada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.”

Mengikut catatan sejarah, Piala Borneo dianjurkan sejak selepas Perang Dunia Kedua dinamakan sebagai Piala Borneo secara rasmi pada 1962.

Sabah merupakan pemenang terbanyak kejohanan tersebut, apabila memenangi 23 kali, termasuk yang pertama pada 1962.

Sarawak menang sebanyak enam kali, manakala Brunei menang sebanyak empat kali.

Sabah juga menjadi pasukan Borneo pertama yang layak beraksi di Piala Malaysia apabila memenangi Piala Borneo pada 1977.

Namun, kejohanan tersebut dimansuhkan pada 1989, apabila kesemua pasukan Borneo membuat keputusan untuk menyertai Liga Semi-Pro yang dianjurkan buat pertama kali pada tahun itu.

Brunei merupakan pemenang terakhir Piala Borneo pada 1988.

Walaubagaimanapun, SAFA cuba untuk menghidupkan semula kejohanan tersebut beberapa kali.

Piala Borneo edisi 2020 akan disertai lapan pasukan daripada Borneo termasuk Sabah, Sarawak, Wilayah Kalimantan dari Indonesia, Brunei dan Labuan.