Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan FA kesuntukan masa

KAFA semakin terdesak apabila Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman mendedahkan pihaknya turut memohon bantuan daripada jutawan dan usahawan terkemuka Kelantan supaya menghulurkan sumbangan bagi menyelamatkan pasukan bolasepak negeri itu daripada dihukum gantung oleh FIFA.

Namun katanya, mereka menerima maklum balas yang mengecewakan.

“Sejujurnya saya beritahu setakat ini sumbangan daripada individu jutawan atau hartawan kurang malah apabila kita berjumpa mereka mengharapkan dapat membantu namun sehingga hari ini tidak memberikan maklum balas,” katanya kepada Arena Metro.

“Saya akui memang Kelantan terkenal dengan ramai jutawan dan usahawan namun jika mereka tidak mahu menghulurkan sumbangan, KAFA tidak boleh paksa kerana itu adalah hak masing-masing.

“Sememangnya KAFA melalui situasi sukar dan akan meneruskan kutipan derma bagi memastikan dapat mengumpul jumlah yang diperlukan untuk membayar hutang itu.

Jelas Husin, KAFA hanya boleh mengharapkan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memihak kepada KAFA supaya mereka diberikan lebih masa untuk mencari dana.

Setakat ini, tabung KAFA hanya meraih RM13,000 sedangkan mereka perlu membayar RM629,620.28, dengan tarikh akhir merupakan 23 Mei ini.