Liga Super Malaysia Berita

Adakah barisan pemain Kedah bakal beraya tanpa gaji?

Selepas isu tunggakan gaji pemain Kedah terbongkar, pihak pengurusan pasukan berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Namun, berbaki tiga minggu sahaja lagi sebelum rakyat Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri, pemain Kedah masih belum mendapat gaji penuh bulan Februari, Mac dan April.

Menurut laporan Arena Metro, sumber dalaman Kedah FA mendedahkan pihaknya hanya membayar sebanyak 30 peratus daripada gaji penuh untuk bulan Februari.

“Dah dua bulan gaji tak masuk, sejak bulan Februari lagi,” kata sumber itu.

“Itu pun mereka ada bayar sikit tapi yang selebihnya masih tak dapat lagi. Kalau bulan dua pun sangkut, dah tentu bulan Mac pun tak nampak bayang.

“Kalau ikutkan setiap 7 haribulan pemain akan dapat gaji. Kebetulan tarikh itu lusa dan rata-rata pemain memang tunggu dan kalau tak masuk juga, kira gaji dah tertunggak selama tiga bulan.”

Menurut sumber itu lagi, tunggakan gaji tersebut memberi kesan besar kepada pemain dalam mengharungi bulan Ramadan serta persiapan untuk menyambut Aidilfitri.

“Kesian kat pemain tak dapat sambut Ramadan dengan hati senang. Belum lagi cerita untuk sambut hari raya. Baju raya semuanya nak kena beli awal dan terpaksa beli dalam talian sebab COVID-19.

“Kalau berterusan macam ini, kesian ahli keluarga pemain yang mungkin tak dapat beraya semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya.”