Liga Premier Malaysia Berita

FIFA arah Kelantan FA bayar tunggakan gaji hampir RM1 juta dalam tempoh 30 hari

Kelantan FA sekali lagi berdepan krisis apabila FIFA mengarahkan supaya pasukan Pantai Timur melunaskan tunggakan gaji pemain hampir RM1 juta dalam tempoh 30 hari.

Keputusan tersebut dibuat pada 23 April lalu selepas FIFA mendapat laporan daripada bekas pemain import Kelantan, Casio Francisco De Jesus yang masih belum mendapat bayaran gaji sebanyak AS$145,944.60 atau RM629,620.28.

Jika Kelantan gagal melunaskan tunggakan gaji tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, kes tersebut akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FIFA dan bakal berdepan penggantungan sama seperti apa yang berlaku kepada pasukan Perlis.

FAM memaklumkan kepada KAFA pada 28 April, faedah lima peratus turut dikenakan dalam tunggakan gaji pemain import itu.

Ia jelas merumitkan lagi keadaan, apabila Kelantan turut berdepan masalah tunggakan gaji pemain tempatan yang mencecah ribuan ringgit.

Setakat ini, FIFA telah mengharamkan Kelantan daripada menandatangani pemain sama ada import atau tempatan untuk dua jendela perpindahan.