Dalam keadaan pasukan berdepan masalah kewangan selepas Liga Malaysia tertunda akibat wabak COVID-19, penjaga gol Piala Presiden Pahang, Ikmal Pakkuky mengambil peluang untuk menjadi penghantar makanan di Kuantan sebagai pendapatan sampingan, terutamanya pada bulan Ramadan.
Ikmal mendedahkan, kerja menghantar makanan bermula pada pukul 10 hingga enam petang dengan perjalanan kira-kira 40km sehari, dengan menggunakan motosikal dan akan menaiki kereta jika hari hujan.
Pelbagai jenis juadah berbuka puasa dihantar, antaranya jagung, buah mangga dan ikan patin.
Katanya, walaupun hanya menerima bayaran antara RM2 hingga RM5 bagi setiap penghantaran namun Ikmal tidak kisah kerana sekurang-kurangnya dapat membantu masyarakat yang tidak dapat keluar rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun bergelar pemain profesional namun saya tidak pernah merasa malu melakukan tugas sebagai budak penghantar, sekurang-kurangnya ia dapat menambah pendapatan dan memenuhi masa terluang,” katanya kepada NST.
“Kebanyakan pelanggan tak tahu saya pemain pasukan bola sepak Pahang, hanya rakan-rakan dan jiran sekampung sahaja yang kenal saya.”
Ikmal juga membuat penghantaran juadah berbuka puasa terutama kuih yang disediakan keluarganya di kawasan rumahnya di Kampung Balok.
“Masa awal-awal dahulu, saya ada beberapa kali tersesat terutama di kawasan taman perumahan tapi sekarang tidak berlaku lagi. Kerjasama yang diberikan peniaga dan pelanggan juga menambahkan semangat saya untuk meneruskan tugas menghantar barangan selepas PKP nanti.
Katanya, beberapa rakan sepasukan turut melakukan penghantaran barangan bagi menambah pendapatan masing-masing.
“Saya seronok menghantar barang apabila dapat bertemu dengan ramai orang pelbagai peringkat, mereka begitu menghargai khidmat yang diberikan, ucapan terima kasih sudah cukup memberi kepuasaan.”