Liga Super Malaysia Berita

FAM dan MFL mahu Liga Malaysia 2020 kembali pada bulan Ogos

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan mengenai perancangan untuk menyambung semula Liga Malaysia pada bulan Ogos ini.

Katanya, jika saingan liga hanya dapat diadakan lebih lewat daripada itu, musim ini mungkin terpaksa dibatalkan.

“Kita ada sehingga Ogos sahaja sebelum perlu memulakan liga kembali,” katanya kepada BH Sukan.

“Kalau saingan hanya boleh diteruskan pada penghujung tahun misalnya Oktober atau November, mungkin kita perlu batalkan liga.

“Ini sebab kita sudah tiada masa lagi kalau liga bermula pada penghujung tahun. Apapun, kita tunggu pengumuman rasmi dahulu daripada kerajaan yang boleh mengesahkan bahawa Liga M boleh bersambung ataupun tidak.”

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengesahkan perbincangan akan diadakan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada hari ini.

“Kami sudah menerima permohonan daripada menteri belia dan sukan untuk memutuskan status bola sepak, adakah ia boleh atau tidak untuk diteruskan kerana seperti yang saya umumkan, ia tidak boleh diadakan dalam masa terdekat.

“Semuanya akan dibincangkan esok,” katanya.

Mengikut perancangan terbaru FAM dan MFL, Ogos adalah bulan terakhir untuk menyambung kembali saingan Liga Super dan Liga Perdana manakala Piala Malaysia dan Piala FAM akan diubah format.