Malaysia Berita

Akademi Mokhtar Dahari diiktiraf

Akademi bola sepak negara, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) secara rasminya diberikan penarafan dua bintang dalam Skim Belia Elit peringkat Asia.

Ini selepas FAM menjadi ahli gabungan terbaharu yang diluluskan sebagai anggota penuh Skim Belia Elit AFC.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berbangga melihat pembangunan peringkat akar umbi Malaysia berkembang dengan baik ketika ini.

“Kami gembira dapat diterima sebagai ahli penuh dan berbangga salah satu akademi bola sepak tertinggi di Malaysia mendapat status dua bintang,” kata Hamidin di laman rasmi FAM di Facebook.

Skim Belia Elit AFC merupakan langkah utama dalam pembangunan bakat yang akan membantu ahli gabungan AFC untuk mengembangkan lagi program peringkat belia di negara masing-masing.

Antara kriteria yang akan dinilai termasuk staf, perancangan, pertandingan, kejurulatihan, pencarian bakat, perkhidmatan perubatan, sains sukan, pendidikan dan kebajikan, kemudahan, falsafah serta akademi.