Liga Super Malaysia Berita

Khairul Fahmi tak sangka gula Melaka laris

Khairul Fahmi Che Mat juga tidak ketinggalan dalam mencari sumber pendapatan tambahan ketika perintah kawalan pergerakan akibat wabak COVID-19. Namun, beliau tidak menyangka jualan gula Melaka mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Penjaga gol Melaka United berusia 31 tahun itu hanya mula menjalankan perniagaan itu sejak beberapa hari lalu dan sudah mendapat permintaan tinggi daripada peminat, termasuk dari Sabah, Sarawak dan Brunei.

“Selepas berfikir mengenai apa yang perlu dilakukan untuk mengisi masa terluang dan dalam masa sama menjana pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya saya mendapat idea memasarkan gula Melaka kepada orang ramai menerusi dalam talian di seluruh negara,” katanya kepada BH Sukan.

“Saya terkejut apabila pesanan pertama membabitkan 400 kilogram daripada peminat dan penggemar gula Melaka. Saya menjualnya dengan harga RM23 sekilogram sahaja termasuk penghantaran.”

Sehingga kini, bekas penjaga gol Kelantan itu aktif mengambil pesanan daripada peminat.

“Saya juga masih menjalani latihan harian di rumah seperti yang diatur jurulatih bagi mengekalkan kecergasan walaupun sudah lama tidak turun ke padang sepanjang PKP.”