Walaupun hanya berstatus Liga M3, Langkawi City FC memainkan peranan besar dengan memberikan sumbangan RM2,000 kepada petugas barisan hadapan COVID-19 di Pulau Langkawi, Kedah.
Pengurus Pasukan Langkawi FC, Mohd Noor Mohd Amin berkata, sumbangan itu membolehkan barisan hadapan sentiasa dilengkapi dengan peralatan yang diperlukan semasa bertugas.
“Sumbangan ini untuk pembelian peralatan diperlukan sewaktu mereka menjalankan tugas seperti penutup muka dan selebihnya terpulang kepada mereka,” katanya kepada BH Sukan.
“Sumbangan ini sebagai menghargai jasa serta pengorbanan anggota APM Langkawi yang menjadi antara barisan penting dalam memerangi wabak Covid-19.”
Pada masa sama, semua pemain Langkawi menjalani latihan masing-masing di rumah dengan panduan diberikan ketua jurulatih Nelson Sam Martin.
Langkawi berada dalam prestasi baik sebelum liga ditangguhkan apabila menewaskan Klasiko FC 2-0 dan seri 2-2 menentang NLFC Mahsa.
Pasukan itu juga layak ke pusingan kedua Piala FA dan dijadualkan bertemu Melaka United.