Liga Super Malaysia Berita

Pemain PDRM bertugas di barisan hadapan bebas COVID-19

Seramai 14 pemain, pegawai dan barisan kejurulatihan PDRM yang bertugas di barisan hadapan dilaporkan bebas daripada sebarang jangkitan wabak COVID-19.

Ketua jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad berkata mereka yang bertugas sejak bermula perintah kawalan pergerakan tidak perlu menjalani kuarantin di rumah.

“Alhamdulillah semua pemain kami termasuk 14 daripadanya yang terdiri daripada anggota selamat daripada jangkitan atau dikuarantin susulan wabak pandemik itu, begitu juga dengan tujuh pegawai dan barisan kejurulatihan,” katanya kepada Arena Metro.

Ishak turut mendedahkan bagaimana para pemain bertugas tanpa henti sehingga tiga minggu tidak pulang ke rumah.

“Mereka sekarang begitu komited dengan tugas, saya difahamkan ada dalam kalangan anggota ini sudah dua hingga tiga minggu tidak pulang ke rumah berjumpa keluarga demi tugas hakiki.

“Ini tidak termasuk lagi dengan makan minum mereka yang sekadar keperluan sahaja mengalas perut selain rehat mungkin tidak mencukupi kerana mereka bertugas dibeberapa tempat termasuk di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan ada juga di Sabah.”

Bagaimanapun Ishak membeir kelonggaran kepada pemain daripada melakukan latihan berbanding pemain lain yang perlu menghantar video latihan mereka sepanjang tempoh PKP ini bagi mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.

“Tapi jika pemain ini mempunyai masa dan mampu melakukan latihan yang diberikan, kita amat menggalakkannya kerana sedar mereka harus fokus kepada tugasan semasa sebagai barisan hadapan menjaga keamanan negara.”

Dalam isu pemotongan gaji pemain, Ishak hanya mengharapkan ada situasi menang-menang antara pemain dan jurulatih dengan pihak pengurusan pasukan.