Liga Super Malaysia Berita

Isu ejen Matyo: Bolehkah dua ejen berbeza mewakili pemain yang sama?

Perbalahan isu kontrak ejen antara Norshahrul Idlan Talaha dan ejennya Abdul Halim Abdul Shukor dari Offside Sports Management serta ejen Thailand iaitu Pro24 Sports Management menimbulkan satu persoalan: Bolehkah seorang pemain diwakili dua ejen yang berbeza?

Ejen bola sepak negara, Effendi Jagan Abdullah, yang merupakan rakan kepada Abdul Halim mendedahkan ia adalah perkara biasa yang berlaku dalam bolasepak moden.

“Perkara seperti ini berlaku apabila pemain menandatangani kontrak dengan seseorang ejen tapi apabila ejen itu tidak boleh mendapatkan pasukan untuk kliennya, pemain menggunakan khidmat ejen lain dan ejen itu berjaya mendapatkan pasukan untuknya,” katanya kepada NST.

“Tapi pemain mesti memberitahu ejen baharunya, mereka perlu duduk berbincang dengan ejen lama untuk membuat satu surat tiada bantahan, supaya dapat melindungi hak pemain.”

Pada masa sama, Effendi kurang bersetuju dengan sikap Abdul Halim dan Norshahrul dengan beranggapan ia sepatutnya diselesaikan secara profesional.

“Dia (Halim) tidak patut buat tak endah sahaja dengan Matyo… setidaknya hantarlah e-mel atau mesej pemain itu bahawa ia sudah jadi kes dan tertakluk kepada undang-undang.

“Matyo dakwa Halim kata dia akan selesaikan masalah dengan Pro24 untuknya, tapi adakah dia berjanji secara bertulis? Sama ada benar atau tidak, perkara seperti ini memang mudah berlaku.

“Pemain harus membuktikan bahawa ejen pertamanya tidak berjaya mendapatkan pasukan, sebab itulah dia pergi ke ejen lain.

“Tapi adakah pemain memberi notis secara bertulis, kepada ejen pertama kerana tidak memenuhi kontrak dia?

“Jika dia ada melakukannya, dia ada sebab yang kukuh untuk lawan kes itu.”

Sementara itu, peguam Susanah Ng yang mempunyai banyak pengalaman dalam menangani pertikaian sukan antarabangsa, berpandangan bahawa pemain biasanya mengambil khidmat lebih daripada satu ejen dan tidak meletakkan sebarang hak eksklusif kepada mana-mana ejen.

“Ia bergantung kepada kontrak ejen, hak eksklusif,” kata Susanah.

“Biasanya, jika dalam kontrak tidak ada memberikan eksklusiviti kepada ejen, pemain boleh diwakili ejen lain dan ini sering berlaku dalam bola sepak.”

Malah, isu kontrak ejen menjadi lebih rumit apabila FIFA tidak lagi mempunyai kuasa untuk menyelesaikan isu tersebut.

Ini kerana FIFA telah melepaskan kuasa mereka terhadap ejen bola sepak, maknanya mereka tidak akan terlibat dalam pertikaian kontrak yang melibatkan ejen.

Sebarang pertikaian yang timbul antara Norshahrul dan ejennya harus diselesaikan mengikut syarat kontrak yang telah ditetapkan.

Namun Susanah berkata kes itu boleh diselesaikan dengan lebih cepat jika pasukan BG Pathum United dapat mengemukakan bukti bahawa Abdul Halim telah menerima bayaran ejen, seperti yang didakwa Norshahrul sebelum ini.