Afif Najmi Muhd Izwan merisikokan nyawanya apabila menggalas misi khas membawa pulang 55 penumpang dari Tehran, Iran pada 21 Mac lalu walaupun berdepan dengan kemungkinan dijangkiti COVID-19.
Afif yang kini beraksi bersama Melawati FC di Liga M3 sejak musim lalu merupakan seorang juruterbang AirAsia.
Pemain berusia 29 tahun itu mendedahkan misi tersebut memerlukan prosedur yang cukup rapi dan teliti demi keselamatan semua pihak.
Jelasnya, terdapat tiga zon dalam penerbangan terbabit yang membabitkan krew kabin, pasukan perubatan dan terakhir sekali adalah penumpang yang meliputi seramai 46 dari Malaysia, 8 dari Singapura dan seorang dari Indonesia.
“Memang penat sangat dan saya boleh rasa suasana yang cukup lain daripada lain kerana prosedur memang cukup teliti dan kami perlu memakai pakaian yang tertutup demi keselamatan semua orang,” katanya kepada MFL.
“Penerbangan ini adalah dua hala sekali gus dan ada tiga kapten pesawat dan dua pembantu juruterbang di mana secara keseluruhan adalah seramai 22 orang termasuklah pasukan perubatan.
“Dan setiap penumpang perlu melakukan saringan terlebih dahulu seorang demi seorang sebelum dibenarkan masuk untuk pulang bagi langkah berjaga-jaga dan bagi saya, ini adalah penerbangan yang paling saya tidak boleh lupakan.
“Apa-apa pun, kami bersyukur semuanya selamat dan tiada seorang pun yang disahkan positif COVID-19 selepas melakukan pemeriksaan.”
Bekas pemain futsal negara itu kemudiannya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari sebelum kembali bertugas.
Ketika ini, Afif kini hanya sempat berlatih sebanyak dua kali sahaja bersama pasukannya kerana sedang berkhidmat di barisan hadapan.
Namun katanya, dia akan mencuba sebaik mungkin untuk membahagikan masa untuk menjalani latihan di rumah.
“Memang saya sibuk dengan kerja dan musim lepas saya minta cuti juga untuk datang beraksi dalam perlawanan bersama pasukan.
“Tetapi saya risau selepas wabak COVID-19 ini pulih, penerbangan akan menjadi lebih banyak dan saya kena bersedia, bergantung kepada jadual kerja nanti.
“Jadi, saya kena pandai bahagikan masa dan saya akan cuba yang terbaik membantu pasukan pada musim ini di mana saya tetap lakukan latihan ringan di rumah bagi menjaga stamina.”