Liga Super Malaysia Berita

Safawi Rasid beri sumbangan kepada petugas barisan hadapan COVID-19

Selepas melancarkan produk pembasmi kuman baru-baru ini, pemain JDT Safawi Rasid mengambil peluang untuk menyumbangkan sebanyak 1,000 botol kepada hospital KPJ Johor selaku petugas barisan hadapan bagi membantu memerangi penularan wabak COVID-19.

Menurut laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Safawi mengambil inisiatif tersebut setelah melihat keprihatinan pemilik JDT, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, yang memberi sumbangan berupa wang serta barangan kepada pelbagai pihak yang terkesan dengan wabak tersebut.

Ini satu usaha berterusan selepas Safawi memberi sumbangan di kampung kelahirannya di Dungun, Terengganu, kali ini beliau memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan bagi memberikan semangat serta sebagai tanda penghargaan dalam mengharungi wabak yang berbahaya ketika ini.

Malah para pemain, jurulatih dan kakitangan JDT telah bersetuju dengan pemotongan gaji 33 peratus dengan sebahagian daripada gaji tersebut didermakan kepada Tabung Bencana Negeri Johor.