Selangor agak bertuah apabila menjadi satu-satunya pasukan yang dapat menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah, satu perkara yang dilihat jurulatih B. Sathiananthan sebagai kelebihan apabila bertemu Perak malam ini.
Malah, Sathia mahu anak buahnya mempamerkan aksi terbaik, seolah-olah ia adalah perlawanan final.
Lagi-lagi apabila pihak lawan mereka Perak turut meraih kemenangan pada minggu lepas.
“Saya kira ini adalah satu lagi perlawanan sukar buat Selangor dan saya mahu pemain anggap ini sebagai perlawanan final,” katanya kepada Arena Metro.
“Lagipun SNBJ selalu adakan perlawanan akhir, jadi sudah alang-alang kita main di sana, apa salahnya kita ambil aura venue itu sebagai final.”
Sathia juga menganggap Perak mempunyai peluang yang seimbang untuk mencapai kemenangan di Bukit Jalil.
“Mehmet Durakovic adalah seorang jurulatih yang bagus buat Perak dan beliau bijak memasang strategi tertentu yang boleh memerangkap kita.
“Tapi kita juga ada perancangan tersendiri untuk meraih kemenangan. Kita akan turun dengan skuad terbaik dan fokus mencari tiga mata di tempat sendiri.”