Liga Super Malaysia Berita

MFL: Jika COVID-19 semakin melarat, Liga Malaysia akan diteruskan dalam stadium kosong

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mendedahkan liga Malaysia akan tetap diteruskan namun jika wabak koronavirus atau COVID-19 semakin berleluasa, perlawanan akan berlangsung tanpa penonton di stadium.

Katanya, MFL akan mengambil pendekatan membenarkan perlawanan berlangsung tanpa penyokong sebagai langkah awal mencegah penularan wabak itu.

“MFL sentiasa memantau perkembangan wabak Covid-19 dan mempunyai persediaan tertentu,” katanya kepada Bernama.

“MFL akan bertindak mengikut perkembangan terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

“Di Malaysia, wabak ini masih terkawal jadi tiada keperluan untuk menangguhkan liga setakat ini.

“Untuk menangguhkan liga ia bukan mudah, mungkin pasukan akan bermain di stadium kosong terlebih dahulu sebagai permulaan.”

Pada masa sama, Ab Ghani berkata MFL telah mengarahkan setiap pasukan bertanding supaya memberi penerangan kepada penyokong mengenai langkah pencegahan Covid-19 termasuk pemakaian topeng penutup hidung dan mulut ketika menghadiri perlawanan.

“Sebelum liga bermula kita sudah memaklumkan kepada setiap pasukan tentang persediaan untuk mencegah penularan wabak Covid-19 supaya mereka bersedia dan penyokong berada dalam keadaan yang selamat.”

Berbanding dengan keadaan di Malaysia, beberapa negara di sekitar Asia sudah pun membuat keputusan untuk menangguhkan liga mereka.

Selepas China dan Korea Selatan, dua negara yang terjejas dengan COVID-19 membuat keputusan awal untuk menunda liga mereka, negara-negara lain turut melakukan perkara yang sama.

Persatuan Bola Sepak (FA) Thailand mengarahkan semua aksi Liga Thailand dalam Divisyen 1 hingga 4 ditangguhkan bermula 3 Mac hingga 17 April depan.

JFA turut bertindak menangguhkan saingan Liga Jepun sehingga 15 Mac depan.

Vietnam pula meneruskan perlawanan liga tanpa penyokong di stadium.