Ketua jurulatih Selangor B. Satiananthan mengakui masih belum berpuas hati dengan prestasi pasukannya walaupun mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Pahang di Stadium Darul Makmur.
Namun beliau mengakui antara faktor pasukannya mengalami kesukaran untuk mempamerkan aksi terbaik adalah disebabkan padang.
“Saya tahu pemain Pahang boleh beraksi dengan baik sebaik sahaja melihat senarai mereka. Kita pula tidak bermain pada tahap biasa.
“Selalunya padang di sini amat cantik…tetapi malam ini saya lihat ia seperti berlubang di sana sini, mungkin inilah mengapa kita tidak dapat menghantar bola dengan baik,” katanya.
Pahang mendahului menerusi jaringan Ivan Carlos pada minit ke-20, namun Selangor berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ifedayo Olusegun tujuh minit kemudian, sebelum Brendan Gan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-89.