Liga Super Malaysia Berita

Dua stadium Liga Super belum boleh digunakan

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan dua stadium iaitu Stadium Shah Alam dan Stadium MBPJ masih belum bersedia untuk digunakan dalam perlawanan Liga Super, walaupun tinggal tiga hari sahaja sebelum perlawanan pembukaan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap stadium berkenaan mendapati proses penambahbaikan membabitkan padang masih lagi sedang dijalankan.

“Setakat ini, terdapat dua stadium masih lagi belum mendapat kelulusan berikutan perlu melalui proses penambahbaikan membabitkan beberapa kemudahan dan fasiliti,” katanya kepada Arena Metro.

“Kami sentiasa memantau situasi semasa dan bersedia membantu pasukan terlibat bagi mencari jalan penyelesaian atau mencari alternatif lain bagi mengelak masalah timbul menjelang sepak mula Liga Super.”

Sebelum ini, Stadium Shah Alam terpaksa menjalani pemeriksaan kedua apabila didapati mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan dilihat membahayakan keselamatan penonton.

Bumbung Stadium Shah Alam ketika Asia Challenge 2020

Sama ada Selangor dibenarkan untuk bermain di Stadium Shah Alam masih belum diketahui, memandangkan pasukan itu akan memulakan kempen liga dengan kunjungan ke Pahang sebagai pasukan lawan pada 29 Feb.

Namun yang terbaru, PJ City dilaporkan perlu menggunakan stadium alternatif selepas Stadium MBPJ masih dalam proses pembaikan dan tidak boleh digunakan dalam masa terdekat.

Selangor hanya akan mula beraksi sebagai tuan rumah pada 7 Mac apabila menerima kunjungan Perak.

PJ City pula akan menjadi tuan rumah pada 6 Mac apabila turun menentang Pahang dalam perlawanan kedua liga.