Liga Super Malaysia Berita

Mohamadou Sumareh sedih dengan perpindahan Matthew Davies

Mohamadou Sumareh dan Matthew Davies merupakan sahabat yang sangat akrab.

Sumareh sertai Pahang pada Disember 2016. Ketika itu Matthew Davies baru setahun menjadi kapten selepas Jalaluddin Jaafar bersara.

Sejak dari itu, Sumareh dan Matthew sering beraksi di bahagian sayap kanan pasukan dengan cemerlang sehingga membantu pasukan memenangi Piala FA pada 2018.

Di luar padang, mereka juga menunjukkan persahabatan yang erat apabila sering dilihat bergurau di media sosial.

Hubungan mereka bertambah rapat apabila Sumareh menyarung jersi skuad kebangsaan sebagai pemain naturalisasi.

Persahabatan antara kedua-dua pemain ini banyak membantu Malaysia meraih keputusan yang baik, terutamanya dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Hubungan yang terjalin antara saya dengan Matthew bukan sehari, seminggu mahupun sebulan,” kata Sumareh kepada The Star.

Ia adalah satu hubungan yang dibina selama bertahun-tahun.

“Selama itu juga, persahabatan kami semakin erat, kami percayakan satu sama lain. Ia perlukan masa yang lama untuk membina itu semua. Perpindahannya ke JDT sememangnya mengejutkan tapi beliau layak menyertai kelab itu.

“Inilah bolasepak. Semua orang akhirnya akan keluar. Keadaan takkan sama tanpa Matt.

“Mana-mana pemain baharu yang akan bermain di posisi Matthew perlu serasi dengan cara permainan saya, dan itu tidak boleh dilakukan dalam satu atau dua perlawanan.

“Namun kami akan mencari cara untuk membina keserasian baharu dalam pasukan.”

Sumareh, bagaimanapun tidak terlalu sedih dengan perpindahan Matthew. Sebaliknya, beliau akan terus berjuang bersama Pahang pada musim ini.

“Pemain datang dan pergi, tetapi pasukan masih sama. Walaupun Matt bukan lagi bersama Pahang, ia bukanlah bermakna dunia sudah kiamat. Kami masih perlu berjuang.

“Kami ada perkara untuk dicapai. Matt telah setia kepada Pahang, memberikan segala-galanya kepada pasukan. Dia adalah seorang pemain yang profesional dalam dan luar padang.

“Pemain import baharu sedang menyesuaikan diri. Kami beraksi dalam banyak perlawanan persahabatan untuk mendapatkan kecergasan dan persefahaman.

“Jurulatih Dollah ada cara permainannya dan mereka perlu mengikutinya. Kami tidak ada banyak masa tapi prestasi kami akan meningkat dari semasa ke semasa.”

Pahang bakal menghadapi perlawanan pembukaan menentang Selangor pada 29 Feb di Stadium Darul Makmur.