Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan secara rasmi nama tiga pegawai perlawanan wanita yang dipilih untuk mengadili perlawanan-perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2020.
Mereka terdiri daripada dua orang pengadil iaitu Rita Gani, 43, dan Nurul Ain Izatty Zainal, 22, serta seorang penolong pengadil iaitu Nur Akmal Anuar, 32.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, langkah untuk memperkenalkan pengadil wanita di pentas tertinggi saingan bola sepak negara ini adalah bagi menambah minat golongan wanita menceburi bidang kepengadilan.
“Jumlah pengadil wanita di negara ini masih dalam kelompok yang boleh kita anggap agak kecil. Dengan aksi mereka di pentas Liga Super dan Liga Premier nanti, saya pasti ia akan membuka mata banyak pihak dan pada masa sama menarik minat lebih ramai golongan wanita untuk menjadi pengadil pada masa akan datang.
“Ketiga-tiga mereka ini telah mengadili perlawanan membabitkan pasukan wanita sama ada di pentas antarabangsa bagi Rita dan Nur Akmal yang merupakan Pengadil FIFA dan Penolong Pengadil FIFA serta Nurul Ain yang cukup berpengalaman mengendalikan perlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah setiap tahun.
“Malah, mereka juga sudah biasa mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan lelaki iaitu Piala Presiden dan Piala Belia beberapa musim kebelakangan ini.
“Jadi tahun 2020 ini bakal menjadi lonjakan buat ketiga-tiga mereka ini untuk mencabar kemampuan dengan mengendalikan perlawanan di peringkat yang lebih tinggi iaitu Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia.
“Saya berkeyakinan tinggi bahawa Rita, Nurul Ain dan Nur Akmal mampu menyahut cabaran ini dan akan melaksanakan tugas yang diberi nanti dengan sebaik mungkin.”
Rita pernah dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Wanita Asia 2014 dan berpengalaman luas mengendalikan perlawanan antarabangsa antaranya Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada dan Sukan Olimpik 2016 di Brazil.
Nurul Ain pula telah menceburkan diri dalam bidang kepengadilan ini pada usia yang cukup muda dan pernah diangkat sebagai Pengadil Wanita Berpotensi 2017.
Nur Akmal pula cukup konsisten prestasinya sepanjang menjadi penolong pengadil.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Md Dali Wahid berkata ketiga-tiga pengadil itu akan dilantik untuk tugasan bagi perlawanan Liga Premier terlebih dahulu sebelum dipilih untuk mengendalikan perlawanan Liga Super.
“Untuk permulaan, mereka akan mengadili perlawanan-perlawanan Liga Premier dan juga Piala FA yang mana Nur Akmal akan menjadi penolong pengadil bagi perlawanan Pusingan Pertama, SSFC lwn Kickers FC di Padang Merdeka, Port Dickson pada Sabtu ini (22 Februari 2020).
“Selepas melihat dan memantau prestasi mereka dalam beberapa perlawanan Liga Premier dan pusingan awal Piala FA ini, selain mereka sendiri sudah cukup bersedia untuk meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi, baru kita akan lantik mereka untuk perlawanan Liga Super dan seterusnya Piala Malaysia.”
Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berkata perkembangan ini dianggap sebagai pengiktirafan kepada golongan wanita dalam sistem bola sepak di negara ini.
“Mereka bertiga ini akan dianggap sebagai perintis untuk kita melihat lebih ramai pengadil wanita mengadili perlawanan lelaki di peringkat tertinggi domestik seperti Liga Super dan Liga Premier ini.
“Saya yakin, jika kita dapat menarik lebih ramai golongan wanita untuk melibatkan diri dalam bidang kepengadilan ini, kuantiti dan kualiti pengadil wanita di negara ini pasti akan meningkat pada masa akan datang.”
Saingan Liga Super dan Liga Premier 2020 akan bermula pada hujung minggu depan dimulakan dengan perlawanan Piala Sumbangsih 2020 merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Johor Darul Ta’zim lwn Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 28 Februari 2020.