Premier League Berita

Apabila Man City dilarang main Champions League

Ada duit berjuta-juta dan berbilion-bilion pun masih mahu menipu, begitulah Manchester City yang tidak pernah serik apabila didapati bersalah melanggar peraturan fair-play kewangan UEFA.

Kesalahan itu menyebabkan UEFA membuat keputusan untuk melarang Man City daripada menyertai sebarang kejohanan peringkat Eropah sehingga 2022 serta didenda 30 juta euro.

Ini kali kedua City melanggar peraturan kewangan bola sepak selepas mereka didenda 60 juta euro pada tahun 2014.

City memberi respon pantas bahawa mereka akan membuat rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) secepat mungkin.

Bukan UEFA sahaja, kesalahan Man City bermakna mereka juga melanggar peraturan kewangan di peringkat liga domestik, dan Premier League dilaporkan akan membuat pemotongan mata terhadap kelab Manchester tersebut.

Jika berdasarkan keadaan liga, pemotongan mata tidak akan memberi kesan kepada Man City, namun larangan penyertaan Champions League akan memberi kesan kepada tempat kelima dalam Premier League.

Ini memberi peluang cerah kepada kelab lain untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij Eropah.

Pada masa sama, adakah Pep Guardiola akan kekal tanpa berpeluang untuk memenangi Champions League?

Bagaimana pula dengan pemain Man City, sudikah mereka kekal di Etihad walaupun tidak dapat beraksi di Champions League selama dua tahun?

Kelab sekaya Man City sekalipun, kehilangan dana besar daripada Champions League mungkin akan memaksa mereka untuk melepaskan pemain sedia ada.

Nampaknya zaman kegemilangan Man City akan berakhir lebih cepat daripada yang disangkakan.