Berita AFC Champions League

Hanya JDT dan Chiangrai United wakil Asean pada AFC Champions League 2020

Musim 2020 menyaksikan hanya Johor Darul Takzim FC dan kelab Thailand, Chiangrai United menjadi wakil Asia Tenggara pada saingan AFC Champions League yang bakal bermula pada 12 Februari ini.

Ini selepas tiga lagi wakil Asia Tenggara iaitu Kedah, Buriram United dan Ceres-Negros gagal melayakkan diri ke peringkat kumpulan selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Hasrat Kedah untuk mencipta sejarah tidak kesampaian apabila tewas 4-1 kepada kelab Korea Selatan, FC Seoul.

Buriram pula tewas kepada kelab China, Shanghai SIPG 3-0, sekaligus gagal layak buat pertama kali selepas bertanding pada edisi 2018 dan 2019.

Pendatang baharu kelab Filipina, Ceres Negros juga gagal membuat sebarang kejutan apabila tewas 2-0 kepada kelab Jepun, FC Tokyo.

 

Penyingkiran ketiga-tiga wakil Asia Tenggara itu melengkapkan senarai pasukan dalam kumpulan masing-masing.

Chiangrai akan berada dalam Kumpulan E bersama Beijing FC, Melbourne Victory dan FC Seoul.

JDT akan bersaing dalam Kumpulan G menentang VIssel Kobe, Suwon Samsung Bluewings dan Guangzhou Evergrande.

Namun dengan format baharu musim depan, dijangka sebanyak enam pasukan dari Asia Tenggara layak bertanding dalam peringkat kumpulan selain daripada empat pasukan yang akan melalui pusingan play-off.