Liga Super Malaysia Berita

Perak bakal bawa masuk pemain Singapura

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berminat untuk mendapatkan pemain import Asean dari Singapura bagi musim 2020.

Selepas mendapatkan Guilherme de Paula di bahagian serangan dan Jeon Hyo-seok di bahagian pertahanan, Perak mungkin mahu mengambil seorang lagi pemain di bahagian serangan.

Ini memandangkan Perak sudah pun memiliki dua pemain import di bahagian tengah iaitu Careca dan Leandro Dos Santos.

Perak tidak mungkin akan menambah seorang lagi pemain pertahanan memandangkan mereka sudah memiliki Shahrul Saad yang akan bergandingan dengan Hyo-seok.

“Saya telah pergi ke Singapura baru-baru ini untuk melihat calonnya,” kata Durakovic kepada Arena Metro.

“Memang ada yang menambat hati dan segalanya kini terserah kepada jawatankuasa tertinggi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), terutama presiden yang akan membuat keputusan.

Walaupun kebanyakan pemain sudah pun memiliki pasukan masing-masing, Durakovic berharap dapat menandatangani pemain yang masih belum mempunyai pasukan.

“Saya yakin masih ada pemain yang belum ada pasukan. Kami akan cuba mendapatkan khidmat mereka,” katanya.

Setakat ini, belum ada muka baharu dalam pasukan Perak sejak sesi pra-musim bermula minggu lepas.