Bekas peledak antarabangsa Croatia, Mario Mandzukic sah telah meninggalkan Juventus untuk menyertai pendahulu liga domestik Qatar, Al-Duhail. Setelah hampir empat tahun setengah bersama pasukan gergasi Itali, Mandzukic akhirnya mengambil keputusan untuk mencari angin baru.
Pemain berusia 33 tahun itu tidak menjadi pilihan pengendali utama, Maurizio Sarri dan tidak pernah diturunkan pada musim ini dalam mana-mana kejohanan. Kelibat pemain-pemain seperti Paulo Dybala, Cristiano Ronaldo, dan Gonzalo Higuain jelas memberi isyarat kepada pemain itu untuk mencari pasukan baru.
Mandzukic menjadi pilihan utama ketika dibawah kendalian bekas ketua jurulatih, Massimiliano Allegri pada tahun 2015 sehingga 2019. Sepanjang berkhidmat bersama pasukan yang berpusat di Turin itu, Mandzukic telah mengumpul 31 gol daripada 118 penampilan Serie A Itali.
Sebelum bersama Juventus, Mandzukic terlebih dahulu mencipta nama bersama Atletico Madrid dan Bayern Munich. Disamping itu, dia juga merupakan salah seorang anggota pasukan kebangsaan Croatia yang menjadi Naib Juara dalam Kejohanan Piala Dunia 2018.
Pemergian bintang Croatia itu juga melenyapkan desas-desus yang mengatakan pemain tersebut akan ke Manchester United menjelang musim jendela perpindahan pemain pada Januari depan. Sementara itu, Mandzukic akan kembali beraksi bersama bekas rakan sepasukan yang bermain bersama Al-Duhail, Mehdi Benatia.
https://www.instagram.com/p/B6gKshFCl02/
Dalam satu hantaran yang dihantar melalui laman sosial Instagram peribadinya, Mandzukic merakamkan ucapan penghargaan kepada dua individu yang banyak membantu dan memberi peluang ketika di Juventus iaitu Massimiliano Allegri dan Guiseppe Marotta. Dia turut berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh para peminat pasukan Juventus sepanjang bersama kelab tersebut.