Bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah dan bekas pemain Akmal Rizal Rakhli percaya Akhyar Rashid boleh menjadi seorang pemain yang lebih matang dan berkualiti jika menimba pengalaman di luar negara.
TMJ sebelum ini mendedahkan terdapat kelab di Jepun yang berminat untuk mendapatkan khidmat Akhyar secara pinjaman.
“Pada pendapat saya, dia (Akhyar) kena pergi dan ambil peluang itu (tawaran kelab luar),” kata Azraai kepada Arena Metro.
“Saya melihat Akhyar belum matang dan dia mungkin hilang fokus. Harap ada pihak daripada keluarganya atau kelab beri dia kaunseling dan bimbingan.
“Kita tidak boleh terlalu beri tekanan kepadanya. Dengan peluang dan
tawaran dari kelab bola sepak luar negara, dia kena ambil. Kita yakin ini untuk masa depan tetapi terpulang kepada dirinya.
“Apa yang TMJ buat itu untuk membuka pasaran pemain melalui rangkaian hubungan dengan kelab luar negara dan ia bagus untuk pemain muda JDT.”
Akmal yang pernah berkelana di Perancis menyifatkan Akhyar berada di usia terbaik untuk ke luar negara, ditambah dengan persaingan sengit di posisinya dalam kesebelasan utama JDT.
“Akhyar adalah pemain berpotensi. Apabila menyertai JDT, ia amat bagus untuk kerjayanya kerana kelab ini memiliki pengurusan dan kemudahan bola sepak yang terkini. Namun, kerana persaingan hebat kita lihat dia sukar untuk mendapatkan minit perlawanan lebih lama dalam kesebelasan utama JDT. Tambahan pula posisinya di saingi hebat pemain termasuk import.”
Jika Akhyar berani menyahut cabaran tersebut, dia akan mengikut jejak langkah Hadi Fayyadh yang kini bersama Fagiano Okayama di Jepun.
Malah, jika beliau benar-benar fokus dan bercita-cita tinggi, beliau boleh menjadi seperti pemain Thailand, Theeraton Bunmathan dan Chanatip Songkrasin yang kini dipandang tinggi di luar negara.