Liga Super Malaysia Berita

MSN: Pasukan profesional perlu bayar khidmat pemain AMD

Mulai 2020, mana-mana pasukan bolasepak profesional perlu membayar khidmat pemain yang diasah oleh Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata mana-mana pasukan tidak boleh mengadakan perbincangan secara terus dengan pelatih atau keluarga mereka sebaliknya perlu melalui pengurusan akademi terlebih dahulu.

“Kami sudah bincang dan bentangkan di mana ada skema yang disediakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi pemain pembangunan ini, ia bukan harga jualan pemain tetapi insentif pampasan kepada akademi,” katanya kepada Arena Metro.

“Sebelum ini mereka lebih banyak berurusan dengan ibu bapa dan keluarga untuk mendapatkan pemain tetapi kini ia perlu melalui akademi.

“Insentif ini adalah satu pampasan bagi akademi yang berusaha membangunkan pemain dan ia akan digunakan sebaik-baiknya untuk membangunkan pemain baharu.”

Dilaporkan sebelum ini, kos untuk melatih seorang pemain mencecah sehingga RM250,000 setiap seorang namun ada pasukan yang membayar jumlah yang lebih rendah daripada itu dan meletakkan tanda harga yang berkali ganda lebih mahal jika ada pasukan mahukan khidmat pemain tersebut.

“Kami tidak mahu menetapkan harga yang terlalu tinggi kerana perkara penting adalah pelatih dapat kembangkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi termasuk bermain bersama pasukan tempatan atau luar negara,” kata Shapawi.

Beberapa pasukan liga terutamanya dari Liga Super sedang giat untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain muda, namun mereka tidak dibenarkan untuk mengikat kontrak dengan pemain sesuka hati, sebaliknya perlu membayar pampasan kepada akademi.

Ini satu langkah baik untuk melindungi pemain AMD daripada ditipu dan dianiaya oleh pengurusan pasukan, sebaliknya mengikut prosedur yang ditetapkan.