Liverpool berjaya menandatangani pemain tengah Red Bull Salzburg, Takumi Minamino dengan yuran perpindahan bernilai 7.25 juta. Pemain antarabangsa Jepun itu mengikat kontrak selama empat tahun setengah bersama The Reds.
Our newest Red 🤩🔴https://t.co/Ery1nB5dXi
— Liverpool FC (@LFC) December 19, 2019
Minamino akan mula menjadi pemain rasmi Liverpool bermula awal bulan Januari depan selepas selesai menjalani ujian pemeriksaan kesihatan semalam. Desas-desus mengenai perpindahan pemain ini sudah mula bertiup kencang sejurus selepas tamat aksi Liga Juara-Juara Eropah diantara Liverpool dan Red Bull Salzburg minggu lepas.
Takumi Minamino adalah bekas pemain ketiga pasukan Red Bull Salzburg yang akan beraksi bersama Liverpool selepas Naby Keita dan Sadio Mane di bawah kendalian Jurgen Klopp.
Sementara itu, ketua jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan perpindahan yang berlaku (kemasukkan Takumi Minamino) adalah satu perkara yang menakjubkan.
Minamino pula berasa teramat teruja dengan peluang yang diterima untuk bermain bersama salah satu pasukan terbaik di dunia pada waktu ini.
‘’Ini merupakan satu mimpi. Saya sememangnya mengidamkan untuk menyarung jersi Liverpool. Akhirnya ia menjadi realiti.’’
‘’Beraksi di Liga Perdana Inggeris sentiasa menjadi impian dan matlamat dalam perjalanan karier bola sepak saya. Ini merupakan liga terbaik di dunia.’’
Our new number 1️⃣8️⃣ 💪 https://t.co/2Og9WcR9vs
— Liverpool FC (@LFC) December 19, 2019
Minamino akan menyarung jersi bernombor 18 di Liverpool. Sepanjang berkhidmat bersama Red Bull Salzburg, Minamino telah menjaringkan 64 gol daripada 199 penampilan manakala di peringkat antarabangsa dia telah menyumbang 11 jaringan daripada 22 penampilan sejak mula menyertai pasukan antarabangsa Jepun pada tahun 2015.
Aksi Minamino di Anfield ketika pertembungan Liverpool menentang Red Bull Salzburg dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara Eropah ternyata menarik minat Jurgen Klopp. Malah, dia juga berjaya menyumbat satu daripada tiga gol yang dihasilkan oleh pasukannya yang menyaksikan Liverpool sebagai tuan rumah bergelut sebelum menang 4-3.
‘’Saya tidak pernah terfikir untuk bermain bersama Liverpool dan saya begitu gembira serta teruja untuk memulakannya’’, ujarnya lagi kepada Liverpoolfc.com .