Pengendali utama The Gunners, Unai Emery menegaskan bahawa keputusan untuk menukarkan Mesut Ozil pada perlawanan awal pagi tadi atas beberapa faktor.
‘Dia (Ozil) bermain dengan sangat baik. Dia sangat bersemangat dan menggunakan kebolehannya untuk membantu pasukan. Satu persembahan yang positif’, kata Unai memberi respon mengenai persembahan Ozil.
Emery on the Ozil substitution in the 2nd half against Liverpool pic.twitter.com/uyZvIAmKcE
— Stadium Astro 🇲🇾 (@stadiumastro) October 31, 2019
Unai turut menjelaskan bahawa pertukaran di separuh masa kedua telah dibincangkan bersama (Ozil). Antara faktor utama ialah kekurangan minit permainan Ozil mampu untuk memberi kesan negatif pada rentak permainannya. Ozil hanya beraksi dua kali pada musim ini. Oleh itu, dia perlu dikeluarkan pada minit ke-60, 65 atau 70.
‘Kami akan bermain pada Sabtu ini (menentang Wolverhampton Wanderers) dan dia (Ozil) ada dalam perancangan saya. Kemungkinan besar saya perlukan khidmatnya lagi’, tambah Unai Emery.
Bekas bintang Real Madrid itu mencipta satu bantuan gol dan terlibat dalam dua gerakan gol pada aksi dramatik menentang Liverpool di Anfield awal pagi tadi. Dia kemudiannya dibawa keluar dan digantikan dengan Matteo Guendouzi pada minit ke-65.
Dalam pada itu, Unai mengalami krisis bersama pasukan setelah tindakan ketua pasukan, Granit Xhaka yang mengundang kemarahan seluruh penyokong Arsenal. Hubungan Unai dan Ozil dikatakan bermasalah dan misteri.
Perkara ini berpotensi untuk mengganggu konsentrasi Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Unai juga telah diberitahu oleh pemilik kelab, Josh Kroenke untuk kembali membawa Arsenal ke kancah Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan dan diberi masa sehingga hujung musim ini.