Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan seramaii 26 orang pemain yang akan terlibat dengan kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang akan bermula pada Ahad ini.
Cheng Hoe mengekalkan 19 orang pemain daripada senarai yang lepas dan kembali menamakan dua tonggak utama yang mengalami kecederaan sebelum ini, Nor Azam Azih dan Shahrel Fikri Fauzi.
Lima pemain baru yang datang dari dua pasukan yang akan berentap di final Piala Malaysia pada Sabtu ini. Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syazwan Andik dan Afiq Fazail serta tiga tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar, Ifwat Akmal, dan Farhan Roslan akan memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
Berdasarkan senarai pemain yang ada, skuad kebangsaan dilihat mampu untuk bangkit mengutip mata dalam dua perlawanan penting menentang Thailand dan Indonesia pada Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
Apa yang lebih mustahak adalah harapan agar tiada seorang pun pemain yang terlibat dalam aksi final Piala Malaysia mengalami sebarang kecederaan yang mampu untuk mengganggu taktikal Tan Cheng Hoe.
Malaysia bakal menghadapi tiga perlawanan termasuk satu Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Tajikistan (9 November) sebelum melayan kunjungan Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam pada itu, enam pemain telah dinamakan bagi mengisi slot pemain bersedia jika berlaku sebarang kecederaan pemain utama. Enam pemain tersebut adalah Irfan Zakaria, Akram Mahinan, Rizal Ghazali, Haziq Nadzli, J Partiban, dan Jafri Firdaus Chew.