Pemain sayap Kedah, Azamuddin Akil pasti teruja kerana impiannya untuk membawa pasukan ke pentas akhir Piala Malaysia 2019 sudah terlaksana.
Dalam satu sesi temubual bersama RTM, Azamuddin Akil yang lebih mesra dengan panggilan Alex dikalangan pemain, menjadi kunci kejayaan buat Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 ketika menentang bekas pasukannya, Pahang.
Anak kelahiran Kuala Lipis ini masuk menggantikan David Rowley dan berjaya mengubah rentak permainan serta menghasilkan dua bantuan gol. Sabtu lepas, Alex sekali lagi menjadi duri dalam daging buat skuad Tok Gajah apabila gerakan bahaya yang dilancarkan di sebelah kiri pintu gol Pahang sedikit sebanyak memberi ancaman.
Kedah berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir apabila mengikat Pahang 5-5 dan layak menerusi kelebihan gol jaringan di tempat lawan.
Sebelum perlawanan bermula, Alex bertekad untuk membawa skuad Helang Merah ke final. ‘Saya banyak berkorban untuk diri saya dan keluarga. Saya tiada gaji untuk lima bulan. Saya melawan dan cuba bangkit daripada kecederaan demi diri saya’, katanya kepada wartawan.
Dia turut menambah,’Saya ucapkan terima kasih buat pasukan Kedah yang sanggup menerima saya dan banyak memberi sokongan kepada saya.’
Sebelum ini, Alex juga pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) selama satu musim dan telah menyumbang empat gol daripada 41 penampilan. Erti kata lain, Alex telah bertemu dengan bekas pasukan (Pahang) di peringkat separuh akhir dan bakal bertemu satu lagi bekas pasukan (JDT) di pentas akhir.
Dalam pada itu, pemain berjersi no 4 ini gagal untuk menghabiskan perlawanan pada aksi dramatik separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur ekoran kecederaan yang dialaminya. Dia telah digantikan oleh bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha pada perlawanan tersebut.
Kedah dan JDT bakal berentap di pentas akhir pada Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.