‘Diving’ atau bermaksud menjatuhkan badan untuk memperoleh sepakan penalti dalam sukan bola sepak merupakan salah satu kesalahan yang boleh mengakibatkan layangan kad kuning kepada pemain.
Perkara ini sering berlaku jika sesebuah pasukan itu terdesak untuk mencari gol penyamaan atau kemenangan. Pemain posisi serangan selalunya akan bertindak sedemikian bagi memudahkan mereka mendapat sepakan penalti.
Namun, ‘diving’ bukan sahaja berlaku di dalam kotak penalti sahaja. Malah, ianya turut berlaku di mana-mana posisi diatas padang. Antara pemain yang pernah dihukum dengan layangan kad kuning atas kesalahan ini termasuklah Cristiano Ronaldo, Mohamed Salah, dan Harry Kane.
Tahukah anda, Arsenal merupakan pasukan yang paling kerap menerima layangan kad kuning atas kesalahan ‘diving’ dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak musim lepas, lapor 90 Min.
Apa yang menarik perhatian, enam daripada tujuh layangan kad kuning itu dikutip oleh bukan pemain serangan seperti Matteo Guendouzi, Granit Xhaka, Sokratis, dan Shkodran Mustafi. Terbaru, pemain sayap muda, Bukayo Saka melengkapkan senarai apabila dilayangkan kad kuning selepas cuba menjatuhkan diri dalam kawasan kotak penalti pada aksi menentang Sheffield United isnin lalu.
Satu lagi pasukan yang mengungguli carta ialah jiran kepada Arsenal di utara London, Tottenham Hotspur. Dua pemain serangan mereka, Heung Min Son dan Harry Kane masing-masing dilayangkan kad kuning dua kali. Tidak pelik untuk melihat pemain serangan dihukum atas kesalahan ini kerana ianya terlalu normal.