Dua pemain bintang Liverpool yang mengalami kecederaan, Mohamed Salah dan Alisson Becker dijangka akan diturunkan dalam pertembungan menentang Manchester United ahad ini.
Alisson Becker yang cedera ketika aksi pembukaan liga menentang Norwich City telah terlepas 11 perlawanan dalam semua kejohanan termasuk aksi UEFA Super Cup menentang Chelsea. Posisinya diganti oleh Adrian dan setakat ini Liverpool terus mencatat kemenangan walaupun masih gagal meneruskan rekod tanpa bolos seperti musim lepas.
Penyerang pasukan kebangsaan Mesir, Mohamed Salah yang dilanda kecederaan pada perlawanan menentang Leicester City pula direhatkan daripada beraksi bersama Mesir bagi saingan antarabangsa.
Liverpool bakal berkunjung ke Old Trafford dengan misi kemenangan kesembilan berturut-turut. Berdasarkan rekod pertemuan, Manchester United telah mencatat 88 kemenangan manakala Liverpool pula mencatat 76 kemenangan.
Anak didik Ole Gunnar Solksjaer pasti tidak senang dengan prestasi semasa Th Reds yang mempamerkan aksi cemerlang setakat ini. Tambahan pula, apabila berita kurang enak mengenai penjaga gawang utama, David de Gea yang cedera ketika beraksi bersama Sepanyol pada pertemuan menentang Sweden awal pagi tadi. De Gea telah dikeluarkan pada minit ke-60 ekoran kecederaan yang dihadapi dan ditukarkan dengan penjaga gawang Chelsea, Kepa Arrizabalaga dalam perlawanan tersebut.
Kegagalan United untuk mengutip mata pada aksi menentang Liverpool akan terus membawa mereka ke kedudukan tercorot liga. The Red Devils kini menghuni tangga ke-12 dengan kutipan sembilan mata.