Eropah Berita

Ronaldo cipta rekod peribadi

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mencatat rekod terbaru apabila menjaringkan gol ke-700 peribadinya buat kelab dan negara pada perlawanan menentang Ukraine awal pagi tadi.

Walaubagaimanapun, Portugal tewas 2-1 ditangan anak didik Andriy Shevchenko. Dua gol sumbangan Roman Yaremchuk dan Andriy Yarmolenko pada separuh masa pertama memadam hasrat Ronaldo untuk mencipta rekod peribadi dengan kemenangan. Penyerang Juventus ini menjaringkan gol saguhati menerusi sepakan penalti pada hujung babak kedua.

Ronaldo yang kini berusia 34 tahun, masih mengekalkan persembahan bertenaga sepanjang perlawanan dan sentiasa menghadirkan ancaman buat pihak lawan. Portugal dilihat mendominasi perlawanan dengan menghasilkan 10 percubaan tepat tetapi dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Andriy Pyatov.

Secara rekod, beliau pernah beraksi bersama Sporting Lisbon sebelum dibawa masuk ke Manchester United oleh Sir Alex Ferguson. Ketua pasukan Portugal ini juga pernah menjulang pelbagai kejuaraan bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dan kini berkhidmat bersama pasukan yang berpangkalan di Itali, Juventus.

Pada musim ini, Ronaldo telah menyumbangkan tiga gol dan satu bantuan gol dalam enam penampilan dalam Liga Serie A. Skuad bimbingan Maurizio Sarri akan menjadi tuan rumah kepada Bologna pada ahad ini bagi meneruskan saingan liga. Juventus mencatat kemenangan dramatik 2-1 pada aksi sebelum ini menentang pencabar liga, Inter Milan.

(Photo by Steve Bardens – UEFA/UEFA via Getty Images)

Sepanjang kariernya, beliau pernah menerima pelbagai anugerah termasuklah  FIFA Ballon d’Or sebanyak lima kali, Pemain Terbaik Dunia FIFA 2008, dan Anugerah Puskas FIFA 2009.