Masih ingatkah anda gerangan pemain yang memusnahkan penyandang juara Liga Perdana Inggeris dua minggu lepas, Adama Traore. Dua gol Traore yang hadir pada 10 minit terakhir perlawanan membuatkan pasukan bimbingan Pep Guardiola berputih mata.
Kemenangan keatas Manchester City merupakan kemenangan ketiga buat Wolves termasuk saingan Liga Eropah setelah gagal mencatat sebarang kemenangan pada bulan Ogos berikutan aksi perlahan yang ditunjukkan mereka.
Ramai yang tidak mengetahui Traore merupakan pemain yang berasal dari Sepanyol dan pernah bermain bersama Barcelona satu ketika dahulu. Kepantasan pemain ini tidak dapat disangkal sehingga diiktiraf sebagai pemain terpantas dalam FIFA 20.
Pemain berusia 23 tahun ini mengalami transformasi dari segi fizikal dan corak permainan sejak berpindah keluar dari pasukan La Masia. Posisi asal pemain ini ialah di bahagian sayap. Walaubagaimanapun, pengendali Wolverhampton Wanderers, Nuno Santo meletakkan Traore di posisi belakang sayap.
Tidak mudah bagi Traore untuk menembusi skuad utama Wolves sehinggalah pemain bek kanan, Matt Doherty dilanda kecederaan serius. Ini memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kebolehan dan kualiti yang dimiliki.
Kebolehan Traore dalam menghasilkan larian deras ketika membuat serangan balas sememangnya menjadi kunci kepada Wolves. Empat bantuan gol telah dihasilkan Traore dalam semua kejohanan setakat ini. Malah, Traore mencipta 243 gelecekkan keatas pertahanan lawan, iaitu 58 lebih banyak daripada Lionel Messi sepanjang musim lepas.
Pemain berbadan sasa ini juga pernah beraksi bersama Aston Villa dan Middlesbrough sebelum berhijrah ke Wolves.