Tottenham Hotspur sekali lagi dirudum malang apabila diratah Bayern Munich 7-2 pada aksi kedua kumpulan B Liga Juara-Juara Eropah.
Kekalahan memalukan itu juga menambah luka buat para penyokong Spurs setelah terkandas awal dalam saingan Piala Carabao minggu lepas. Prestasi terumbang-ambing Spurs semakin menghantui pengendalinya, Mauricio Pochettino. Dua gol Spurs disumbangkan oleh Heung Min Son dan Harry Kane manakala Serge Gnabry menyumbat empat gol serta dua menerusi Robert Lewandowski dan satu melalui Joshua Kimmich.
Kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan yang cemerlang secara jujurnya. Walaupun Spurs dibolosi sebanyak tujuh kali, namun tidak dapat dinafikan bahawa ketangkasan Manuel Neuer menjadi penghalang buat Spurs menjaringkan gol.
Kelebihan buat Bayern Munich yang memiliki senjata utama, Robert Lewandowski yang masih mengekalkan prestasi terbaik walau usia sudah mencecah 31 tahun. Jika diteliti, Lewandowski merupakan satu-satunya pemain yang menjaringkan gol dalam setiap perlawanan buat masa ini. Jadi, tidak mustahil untuk penggempur Poland ini terus menjaringkan gol pada perlawanan akan datang.
Seorang lagi pemain yang menarik perhatian pada perlawanan tersebut ialah Serge Gnabry. Pemain antarabangsa Jerman ini mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama menyumbat empat gol pada separuh masa kedua. Itu juga merupakan gol pertama yang dihasilkan pemain berusia 24 tahun itu.
Untuk rekod, Gnabry pernah dipilih sebagai pemain terbaik Bayern Munich pada musim lepas atas persembahan cemerlang sepanjang musim. Pada penampilan pertama bersama skuad senior Jerman ketika menentang San Marino, Gnabry menghasilkan tiga gol.
Bekas pemain muda berbakat yang pernah beraksi bersama Arsenal ini menyatakan bahawa meninggalkan Arsenal merupakan perkara paling sukar namun yang terbaik pernah dilakukan. Ini kerana beliau tidak ingin menjadi pemain pilihan keempat atau kelima disana yang mana ketika itu skuad The Gunners memilik pemain berpengalaman seperti Theo Walcott, Tomas Rosicky, dan Alex Oxlaide Chamberlain.
Pada perlawanan semalam, Gnabry mencipta tujuh percubaan tepat dan berjaya menghasilkan empat jaringan. Ia merupakan rekod yang baik buat seorang pemain serangan.
Seperkara lagi yang mencuri tumpuan adalah respon Serge Gnabry dalam media sosial dengan membuat satu ciapan di twitter berbunyi, ‘North London Is Red’. Ianya sangat sinonim dengan kelab lamanya, Arsenal yang merupakan seteru utama Spurs di utara London dan seolah-olah Gnabry menjaringkan empat gol mewakili Arsenal.
North London is RED!!! pic.twitter.com/1Te5YjqpWo
— Serge Gnabry (@SergeGnabry) October 1, 2019