Pemain tengah Kedah, David Rowley semakin menunjukkan taring setelah menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan ketika menentang PKNP bagi saingan suku akhir Piala Malaysia 2019.
Dua gol tandukan yang disumbangkan Rowley itu tercipta daripada hantaran pemain berpengalaman Hijau Kuning, Baddrol Bakhtiar. Menurut satu video hantaran melalui laman facebook rasmi Kedah FA, Rowley turut memuji hantaran ketua pasukan tersebut yang disifatkan sempurna. Rowley hanya perlu menunggu bola dan memastikan arah bola menepati sasaran sahaja. Pemain kelahiran Australia ini juga menyifatkan kesemua pemain diatas padang memainkan peranan penting sebagai satu pasukan. Ia bukanlah peranan individu, tetapi kerjasama daripada setiap pemain.
Selain itu, Rowley juga memberi pujian keatas kelincahan pemain muda PKNP, Mukhairi Ajmal yang mejanringkan gol saguhati buat pelawat dalam perlawanan yang menyaksikan Kedah menewaskan PKNP 6-2 secara agregat pada perlawanan tersebut.
Berdasarkan rekod, Rowley pernah beraksi bersama pasukan dalam liga Jerman, Thailand, dan Australia. Pengalaman yang luas begitu membantu pemain ini untuk memberikan persembahan yang berkualiti. Jelas sekali, keputusan pengendali Kedah, Aidil Shahrin untuk memberikan peluang bermain kepada Rowley bukan satu keputusan yang sia-sia.
Aidili juga pernah membuat kejutan dengan menamakan Rowley sebagai salah seorang pemain kesebelasan utama pada perlawanan akhir Piala FA yang lepas menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ternyata ruang yang diberikan itu digunakan sebaiknya dan Kedah berjaya membawa pulang Piala FA ke Stadium Darul Aman.
Dalam pada itu, Kedah bakal bertemu Pahang dalam peringkat separuh akhir Piala Malaysia yang dijadualkan pada 19 dan 26 Oktober depan. Sentuhan Rowley semestinya ditagih bagi membantu barisan tengah skuad Helang Merah yang turut dibarisi Baddrol Bakhtiar, Farhan Roslan, dan Edgar.