Eropah

Saka curi tumpuan

Arsenal mengutip tiga mata penuh dalam aksi pembukaan Liga Eropah bagi kumpulan F selepas menewaskan Eintracht Frankfurt. Skuad bimbingan Unai Emery bertandang ke Stadium Commerzbank-Arena tanpa beberapa tonggak utama termasuk Mesut Ozil dan Sokratis Papastathopoulos yang direhatkan.

Unai menaruh harapan kepada pemain muda dengan membariskan tiga pemain seperti Emile Smith Rowe, Joe Willock, dan Bukayo Saka dalam kesebalasan utama manakala pasukan tuan rumah juga membuat beberapa pertukaran dalam perlawanan tersebut.

Perlawanan dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan. Gandingan berbahay Willock dan Saka seringkali mengganggu ketenteraman pengendali pasukan tuan rumah, Adi Hutter.

Gol pertama muncul pada minit ke-37 hasil satu rembatan kencang yang terkena pertahanan dan menggegar gawang gol Eintracht Frankfurt. Ketumpulan penyudah anak didik Adi Hutter begitu terserlah walaupun menghasilkan tujuh percubaan tepat kearah gol.

Perlawanan yang dilihat seolah-olah masih ada sinar untuk Eintracht Frankfurt mengutip mata akhirnya digagalkan oleh persembahan luar biasa Bukayo Saka. Pemain sayap kiri Arsenal itu menjaringkan gol kedua pada minit ke-85 dan membuat satu bantuan gol dua minit kemudian kepada Pierre Emerick Aubameyang untuk mengesahkan kemenangan buat The Gunners.

Arsenal memanfaatkan kelebihan pemain selepas pemain tuan rumah, Dominik Kohr dilayangkan kad kuning kedua. Dua gol pantas yang diperolehi juga muncul selepas tuan rumah beraksi dengan 10 pemain. Pengadil perlawanan, Davide Massa melayangkan lima kad kuning dan satu kad merah dalam perlawanan ini.