Kolum

Tiga sebab penyokong Indonesia bersikap liar

Pada khamis lepas, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe berjaya menundukkan Indonesia 3-2 dalam aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia 2022 kumpulan G. Beraksi di gelanggan lawan tidak sedikit pun mematahkan semangat juang para pemain kebangsaan. 

 

Disebalik kejayaan manis skuad Harimau Malaya, ada insiden kurang enak yang berlaku kepada penyokong-penyokong Malaysia yang hadir ke Stadium Gelora Bung Karno. Dilaporkan mereka telah disambut dengan lemparan batu ketika ingin melangkah masuk ke stadium dan dibaling botol yang berisi air kencing. Dua penyokong Malaysia juga cedera sejurus selepas tamat perlawanan.

 

Setiap yang terjadi pasti memiliki sebab yang tersendiri. Namun, apa pun alasan diberi, bola sepak bukanlah medan untuk meragut nyawa dan menggugat keharmonian. Terdapat tiga sebab utama mengapa penyokong Indonesia bertindak di luar jangkaan.

 

1. Budaya

Sememangnya budaya peminat bola sepak Indonesia yang seringkali mencetuskan kontroversi dalam sukan bola sepak. Berdasarkan rekod, lebih kurang 74 nyawa telah diragut sejak 1994 yang melibatkan penyokong pasukan tempatan di Indonesia. Bola sepak boleh diibaratkan sebagai ‘ritual suci’ bagi mereka. Tidak hairanlah jika peminat Malaysia diserang dan diberi layanan buruk ketika menjadi tetamu di Stadium Gelora Bung Karno.

2. Semangat ‘sampai mati’

Semangat luar biasa penyokong yang bersifat ‘sampai mati’ boleh dianggap keterlaluan. Mereka sanggup untuk lakukan apa sahaja demi pasukan tercinta. Sebagai bukti, seorang pemuda berusia 23 tahun maut dibelasah menggunakan besi dan kayu pada 23 September 2018. Kejadian berlaku ketika perlawanan diantara Persib Bandung menentang Persija Jakarta. 

3. Musuh tradisi

Seperti yang diketahui umum, Malaysia dan Indonesia cukup terkenal sebagai musuh tradisi dalam sukan bola sepak. Jika masih ingat, sukan badminton juga memberi sedikit kehangatan jika Taufik Hidayat bertemu Hafiz Hashim atau pemain badminton Malaysia yang lain. Begitu juga dalam sukan bola sepak dimana kedua-dua pasukan pasti akan diberi tumpuan. Dari zaman Khalid Jamlus sehingga zaman Safawi Rasid, penyokong Malaysia dan Indonesia masih bermusuhan seperti anjing dan kucing.