Kolum

Luka yang sedang ditutup oleh MFL

Masalah kewangan adalah antara isu besar yang melanda Liga Malaysia.

Kebanyakkan pasukan menghadapi masalah dalam membayar gaji pemain serta staf kejurulatihan akibat bebanan hutang yang meninggi.

Antara kes yang popular adalah melibatkan pasukan Kelantan tetapi mereka telah mendapat bantuan daripada Malaysia Football League (MFL) bagi membantu menangani masalah hutang.

MFL dalam erti kata lain seperti doktor yang cuba menyelamatkan pesakitnya daripada luka yang sudah lama terguris.

Tetapi bagi wakil LaLiga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi, beliau optimis dengan segala usaha yang dijalankan oleh MFL dalam menutup luka-luka ini.

La Liga lepasi masalah hutang

Delegasi Rangkaian Global LaLiga di Malaysia, Rossi mendedahkan rahsia liga terbaik dunia, LaLiga dalam membebaskan pasukan yang bertanding dengan bebanan hutang.

Beliau wakil LaLiga di Malaysia telah memberi penerangan perjalanan LaLiga pada musim ini dengan misi untuk menjadikan LaLiga sebagai sebuah kejohanan terbaik dan lebih popular di Malaysia.

Rossi menjelaskan bahawa peraturan ekonomi yang ketat adalah kunci kepada penyelesaian masalah hutang di LaLiga.

Ini adalah bagi mengelak daripada pasukan-pasukan bertanding menghadapi masalah hutang yang tinggi serta tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk membayar gaji pemain.

“(Peraturan kawalan ekonomi) ini adalah kejayaan untuk LaLiga tetapi banyak persoalan yang saya terima tentang bagaimana ia diterima daripada kelab sebaik ia mula dilaksanakan?

“Bagaimana kelab bertindak balas terhadap peraturan kawalan ekonomi? Jawapannya mudah kerana peraturan kawalan ekonomi wujud kerana kelab itu sendiri memerlukannya.” Katanya kepada media.

Usaha Malaysia Football League (MFL)

Beliau turut optimis usaha badan pengurusan Liga Malaysia, MFL dalam menangani isu masalah hutang yang berkisar di dada pasukan-pasukan bertanding.

Hutang adalah luka yang sudah lama berada di Liga Malaysia dan usaha MFL untuk menyekat barah itu daripada merebak harus dipuji.

Ini bagi mendidik para pasukan agar lebih berhati-hati dalam berbelanja atau dalam erti kata lain ukur baju di badan sendiri.

“Peraturan kawalan ekonomi adalah langkah yang terbaik dan ia bukan sesuatu yang kelab perlu mengeluh meskipun ia akan diperkenalkan dalam Liga Malaysia kerana peraturan sama kepada semua kelab.

“Kelab-kelab harus menyesuaikan diri dengan peraturan baharu dan sekarang apabila anda berkata ia telah berjaya? Itu betul.

“Sesuatu perkara memerlukan masa untuk diteruskan dan melihat hasilnya tetapi sekarang kita dapat melihat LaLiga mengetahui kelab-kelab secara kewangan lebih sihat dan terjamin di mana kita harus melihat kejayaan tersebut,” katanya ketika ditemui pada sesi taklimat musim baru LaLiga hari ini.

Timba ilmu di Sepanyol.

Langkah MFL membuat lawatan ke LaLiga pada Januari lalu turut mendapat pujian Rossi.

Bagi beliau itu adalah langkah besar yang dilakukan oleh MFL dalam menjadikan Liga Malaysia antara liga terbaik di rantau Asia.

Melalui lawatan tersebut, MFL memperoleh ilmu yang berguna apabila disajikan dengan cara kerja LaLiga dalam membantu ekonomi setiap pasukan dan cara kerja mereka menguruskan salah sebuah liga gergasi Eropah.