Piala Malaysia Berita

Piala Malaysia : JDT menang besar, TFC lebur rekod tanpa kalah

Johor Darul Ta’zim hampir pasti menempah slot ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2019 setelah berjaya ‘makan besar’ ketika membenam PKNP FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Pada aksi Kumpulan B, JDT berjaya membenam PKNP FC, 5-0 bagi mencari mata berharga untuk layak ke pusingan seterusnya.

Dalam perlawanan yang dikuasai oleh JDT, pelawat kelihatan sukar untuk menyerap asakan pihak lawan apabila beberapa cubaan awal tuan rumah hampir pasti memberi gol pendahuluan kepada pasukan.

Benteng pelawat roboh pada minit ke-12 menerusi gol peribadi pertama  Mauricia Santos memberi kelebihan buat skuad Harimau Selatan sebelum Gonzalo Cabrera, Diago Luis Santo dan Safawi Rasid menambah duka PKNP.

Pada perlawanan minggu lalu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 dengan PKNP menggunakan kelebihan bermain di halaman sendiri sebagai peluang untuk mencari mata berharga.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung semalam menyaksikan Terengganu tewas tipis ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

TFC yang turun dengan rekod tiga kemenangan dalam peringkat Kumpulan B gagal meneruskan persembahan terbaik mereka.

Gawang TFC bolos seawal minit ke dua melalui Mohd Ferris Danial Nasir sebelum Almir Neto dan Igor Luiz menambah perit kekalahan buat TFC.

Biarpun cuba bangkit melalui Lee Tuck dan Serhi Andrieiv, skuad Penyu terpaksa akur setelah tewas tipis dan gagal membawa pulang tiga mata penuh.

Skuad TFC sebelum ini hadir dengan rekod bersih apabila berjaya mencatat kemenangan ke atas Kedah, Negeri Sembilan dan PKNS FC.