Kolum

Hutang dan harapan peminat – Kedegilan Bury dan Bolton akhirnya dibayar dengan kematian

Antara Januari 2010 dan Mei 2013, tujuh kelab dalam liga bola sepak Inggeris, termasuk satu pasukan Liga Perdana, dilaporkan telah bankrap.

Ini adalah masa yang sukar buat kelab dan peminat. Proses ini hadir apabila sebuah kelab yang sengsara akibat daripada hutang telah didatangi oleh suatu badan Pentadbiran yang akan mengambil alih dan mengurus segala wang yang masuk untuk diberikan secara adil kepada pemiutang.

Pada masa sama, kelab-kelab berusaha keras untuk mendapatkan pelabur bagi membantu menangani bayaran tanggungan dibawah mereka.

Dalam erti kata lain, tiada lagi aksi bola sepak yang kita dapat lihat daripada kelab-kelab ini.

Ada yang bernasib baik dan ada yang tidak.

Dalam tempoh tiga tahun, dua pasukan dari divisyen bawah – Rushden & Diamonds FC dan Darlington – telah hilang dari peta bola sepak selama-lamanya.

Walaupun tidak ada kelab dari empat liga teratas England, tetapi Portsmouth dan Crystal Palace pernah hampir jatuh ke lubang hutang yang tinggi, tetapi sempat diselamatkan.

Episod-episod tersebut telah berjaya menangkap mata UEFA sehingga tertubuhnya Play Fair Financial bagi tujuan untuk mengawal kewangan kelab-kelab di sekitar Eropah.

Tetapi apabila berada di dalam kemewahan dan berteduh di bumbung persatuan bola sepak yang gah, kebanyakkan kelab memekakkan telinga dan tidak peduli dengan nasihat UEFA.

Di Liga Kejuaraan, kebanyakkan pasukan telah bersaing dalam bentuk kewangan dengan cara yang tidak sihat dan boros.

Laporan BBC awal tahun ini menunjukkan kerugian lebih daripada £ 350 juta – 17 daripada 24 pasukan.

Apa yang pasti, biarpun angka kerugian makin meningkat sejak musim 2015/16, tetapi tiada satu pasukan yang dilaporkan bankrap.

Dan pada tahun ini, Bolton Wanderers telah memecahkan rekod apabila menjadi pasukan pertama dari empat liga utama Inggeris yang dihadapkan ke mahkamah akibat kegagalan membayar hutang.

Bermain di divisyen bawah selama tiga musim, Bolton menerima hukuman pertama dengan potongan 12 mata.

Bolton telah berada di dalam hutang sejak bertahun-tahun, laporan Manchester Evenings mendedahkan bahawa hutang Bolton melebihi £ 25 juta kepada hampir 300 pemiutang, awal tahun ini.

Terbaharu, enam batu jauhnya di Bury, pandangannya juga mula suram.

Bury tidak dapat memulakan musim mereka selepas EFL tidak berpuas hati dengan bukti yang dikemukan pihak kelab bahawa mereka mempunyai dana yang diperlukan untuk bersaing pada musim ini dan hasilnya, EFL telah menetapkan tarikh akhir 23 Ogos untuk Bury membuktikan yang mereka mampu.

Potongan 12 mata juga dikenakan oleh EFL selepas pemilik Steve Dale dan pemiutang kelab bersetuju dengan susunan Syarikat Pesuruhjaya Sukarela (CVA) – pelan menyelamat – untuk menghapuskan beberapa hutang kelab.

Kedua-dua kelab di lihat seperti cuba untuk menyelamatkan diri masing-masing tetapi masa jelas tidak menyebelahi mereka.

Bagi Bolton, mereka masih mampu gembira apabila mahkamah membenarkan kelab tersebut di jual dan membatalkan keputusan terdahulu yang telah menyekat jualan kelab. Melalui jualan, Bolton masih mempunyai harapan untuk mengelak daripada terkubur.

Ini berlaku apabila bekas pemilik Watford, Laurence Bassini yang gagal mengemukakan bukti kukuh bahawa beliau mampu menangani masalah kewangan Bolton telah mendapat kebenaran mahkamah untuk dijual kepada pihak lain, Venture Football.

Lain pula cerita bagi Bury apabila EFL mengeluarkan arahan pada Khamis lalu yang mereka tidak akan dibenarkan bertanding dalam lima perlawanan awal sekiranya mereka masih gagal membuktikan yang mereka mempunyai kewangan yang kukuh untuk bersaing pada musim ini.

Empat perlawanan adalah melibatkan perlawanan liga manakala satu lagi melibatkan Piala Carabao di mana Bury dijadualkan bertemu Sheffield Wednesday.

Walau bagaimanapun masih ada harapan kecil untuk kelab-kelab ini bernafas biarpun sedang lemas dalam hutang yang meninggi dan harapan peminat yang menggunung.