Kolum

Mampukah Lindelof, Maguire setaraf Ferdinand dan Vidic?

Manchester United telah berusaha keras untuk memperbaiki bahagian pertahanan mereka sejak Sir Alex Ferguson bersara pada 2010 dengan beberapa kombinasi pertahanan yang diguna pakai.

Ia lebih menggusarkan apabila beberapa kombinasi ini tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak dari zaman David Moyes, Louis van Gaal dan juga Jose Mourinho – semuanya gagal memperbaiki bahagian pertahanan United.

Biarpun harapan yang tinggi diletakkan kepada Phil Jones dan Chris Smalling, kedua-dua mereka masih gagal untuk menjelmakan persembahan yang konsisten.

Manakala Eric Baily yang dibeli oleh Jose Mourinho dari Villarreal pada 2016 telah disihir dengan kecederaan dan terbaharu adalah kecederaan ketika aksi pra musim yang memaksa United mengenepikan beliau sehingga musim sejuk.

Tetapi berbeza buat Victor Lindelof pemain berusia 25 tahun kelahiran Sweden.

Beliau diikat United pada 2017 dengan tanda harga sebanyak € 35 juta yang diletakkan oleh Benfica.

Seperti pemain lain, Vindelof juga sengsara untuk menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris pada musim pertama.

Tetapi sejak berjaya mempamerkan satu persembahan yang matang, pemain kelahiran Sweden telah diturunkan secara konsisten oleh Mourinho – sebelum dipecat – dan juga Ole Gunnar Solskjaer.

Terdapat satu ciri penting bagi seorang pertahanan yang baik – pemain pertahanan yang baik akan menjadi pertahanan yang berkualiti jika dia melihat dengan siapa beliau bermain.

Tetapi untuk kes yang dihadapi oleh Lindelof, ianya jelas beliau masih belum mencapai tahap permainan yang sebenar apabila sering diletakkan bersama Smalling dan Jones – jelas kualiti Lindelof lebih tinggi berbanding mereka berdua.

Di atas sebab itulah, United sanggup menghabiskan £ 75 juta untuk mendapatkan Harry Maguire.

Kehadiran Maguire ke dalam skuad United berjaya memberi persembahan yang baik bersama-sama dengan Lindelof ketika mereka menang ke atas Chelsea, Ahad lalu.

Lindelof menunjukkan kualiti yang baik dengan seni membaca perlawanan dan sesekali membuatkan bahagian serangan Chelsea tenggelam.

Selain daripada itu, kemampuan mereka untuk memenangi bola dari pihak lawan adalah antara ciri-ciri penting yang hilang dari United sejak Sir Alex bersara dan yang pasti salah seorang daripada mereka bakal bersinar di bahagian pertahanan.

Ini mungkin adalah masa yang sesuai untuk United melahirkan pertahanan yang berkualiti dan konsisten sejak dari zaman Ferdinand dan Vidic.