Manchester United telah memulakan langkah pada kempen Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Chelsea, 4-0 dengan dua gol daripada Marcus Rashford, satu gol daripada Antony Martial dan satu lagi dari pemain baharu United, Daniel James.
Pada aksi bertemu Chelsea, ketajaman bahagian depan United dapat dilihat dengan beberapa serangan pantas dan ketajaman di hadapan pintu gol Chelsea, tetapi persembahan daripada pemain pertahanan United juga menyerlah dengan menafikan beberapa gerakan Chelsea.
Pertahanan yang menyerlah.
Kehadiran pemain pertahanan baharu, Harry Maguire dengan tanda harga sebanyak £ 80 juta telah mengagumkan ramai pemerhati bola sepak sehingga beliau dianugerahkan sebagai pemain terbaik perlawanan. Manakala Aaron Wan-Bissaka juga telah menunjukkan kemajuan yang ditunggu-tunggu oleh peminat United.
Penampilan Victor Lindelof bersama-sama Maguire di dada pertahanan United dilihat menyerlah sambil dibantu oleh Luke Shaw dan penjaga gol no.1 Sepanyol, David de Gea.
Biarpun ini perlawanan pertama, tetapi bagi peminat United, ini adalah satu perkara yang menjadi impian mereka setelah bertahun-tahun perlu menghadap masalah yang sama di bahagian pertahanan.
Apa yang boleh dikatakan, selepas bertahun-tahun United gagal menjelmakan pilihan utama di bahagian pertahanan, masanya sudah tiba.
Ia dapat dilihat sewaktu Jose Mourinho berada di kerusi pengurus United, dengan jurulatih daripada Portugal tidak pasti siapakah pertahanan terbaiknya.
Lindelof, Chris Smalling, Phil Jones, Eric Bailly dan Marcos Rojo semuanya bermain di bawah beliau, tetapi disebabkan masalah kecederaan dan kelemahan individu, Mourinho gagal menterjemahkan barisan pertahanan terbaik.
Begitu juga dengan Louis van Gaal yang menghadapi masalah yang sama ketika mana beliau mengemudi United sebelum dipecat beberapa musim selepas itu.
Musim lalu dan sekarang
Melihat pada musim lalu, United hanya membariskan pertahanan yang sama dalam tujuh perlawanan dan United telah menukar-nukar pemain sebanyak 24 perlawanan dan semuanya gagal menghadirkan sistem yang konsisten sehinggalah Mourinho dipecat dan digantikan dengan Solskjaer.
Pemain yang kerap berada di bahagian pertahanan United pada musim lalu adalah Ashley Young, Chris Smalling, Victor Lindelof dan Luke Shaw.
Kini, dengan kehadiran Wan-Bisaka dan Maguire serta aksi yang baik pada perlawanan pembukaan United menentang Chelsea, Ahad lalu. United dilihat seperti sudah mempunyai penyelesaian kepada masalah pertahanan mereka, tetapi mampukah United kekal konsisten sehingga akhir musim?