Piala FA Malaysia Berita

Jonathan Bauman sedia lepas geram

Jonathan Bauman berazam untuk membantu pasukan Kedah pada pertemuan dengan Perak di final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Bauman yang gagal diturunkan dalam tiga perlawanan terakhir akibat kecederaan menyatakan perasaan tidak sabar untuk turun beraksi di pentas akhir.

Beliau yang mengalami kecederaan di bahagian kaki dan terlepas beberapa aksi liga kini sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan.

Berkata kepada Arena Metro, beliau mengakui geram disebabkan kecederaan beliau terpaksa diketepikan dan hanya menonton rakan sepasukan berjuang.

Tambah beliau lagi, tekanan pada aksi final sangat berbeza dengan beraksi di liga, justeru beliau berharap pengalaman yang dimiliki oleh beliau mampu untuk membantu Kedah mencatat kemenangan ke atas Perak.

Untuk rekod, skuad Lang Merah memenangi Piala FA kali terakhir adalah pada 2017.