Pahang Rangers akan turun ke Stadium Indera Mulia malam esok, dengan mensasarkan kemenangan keenam berturut-turut.
Skuad bimbingan Taufik Yaiyah mengharungi permulaan sempurna dalam Malaysia Premier Futsal League 2019 setakat ini dengan memenangi semua lima perlawanan, dan mereka tidak mahu Perak merencatkan momentum tersebut.
“Motivasi di kalangan pemain begitu baik selepas kemenangan terbaru 8-3 ke atas Melaka, saya yakin dengan sistem permainan dan momentum yang ada pada kami sekarang, kami mampu meraih tiga mata tetapi Perak juga sedang menunjukkan kebangkitan, mereka telah memenangi dua aksi terakhir selepas melalui permulaan yang perlahan.
“Jadi ia pastinya bukan perlawanan yang mudah lagipun saya percaya Perak tidak mahu kecewa di hadapan penyokong sendiri. Mereka juga ada kekuatan tersendiri yang perlu kita berwaspada, kita tidak akan sesekali membiarkan ‘over-confident’ menguasai diri, dan kekal fokus, berdisiplin sepanjang permainan,” ujar Taufik.
Dengan 15 mata, Pahang Rangers ketika ini berada di tangga kedua liga, dipisahkan satu mata dengan pendahulu Selangor namun masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Kemenangan ke atas Perak akan menyaksikan Pahang Rangers merampas kedudukan pendahulu dan mereka pastinya mengharapkan kuartet pemain kebangsaan diketuai Khairul Effendy Bahrin, Saiful Nizam Mohd Ali, Azwann Ismail dan Abu Haniffa Hassan yang telah menyumbang 17 daripada 23 gol untuk meneruskan prestasi cemerlang.
Sementara itu, Saiful Nizam yang telah meledak 12 gol dan mendahului carta penjaring MPFL 2019 berkata, “Saya mensasarkan untuk skor lagi, dan lagi. Jika boleh saya tidak mahu berhenti menjaringkan gol, ia memberi saya kepuasan dan lebih keyakinan. Saya gembira dengan sentuhan setakat ini, tetapi saya tahu saya boleh buat lebih baik. Saya tidak boleh mudah berpuas hati.
“Jadi saya tidak mahu ‘slow down’ momentum, berharap sentuhan jaringan dapat diteruskan apabila menentang Perak dan menambah koleksi jaringan musim ini.
“Apapun, ini bukan bermakna saya memburu kejayaan peribadi, kemenangan buat pasukan tetap menjadi keutamaan. Saya adalah sebahagian daripada pasukan, tanggungjawab saya skor gol dan itu adalah apa yang saya lakukan, saya sentiasa bersedia memberikan yang terbaik,” ujar Saiful Nizam.